Tak mustahil Datuk Bandar pun dari orang politik: Iskandar

Iskandar Abdul Samad. Gambar kecil:Status sindiran Iskandar dipercayai merujuk kepada pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden Pas mendakwa tidak mustahil pelantikan Datuk Bandar dan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada masa akan datang dalam kalangan orang politik.

Datuk Iskandar Abdul Samad dalam status dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya dipercayai membuat sindiran itu merujuk kepada isu pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Akan datang... Datuk Bandar dan YDP PBT (Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan) orang politik. Apa susah lepas dilantik keluar parti, hilang terus status orang politik,” tulisnya dalam status tersebut.

Terdahulu, dalam satu status yang turut dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya, Iskandar mendakwa beliau menyangka pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu adalah lawak jenaka dan berita palsu.

Bagaimanapun, katanya beliau mendapat tahu pelantikan itu benar selepas menyemak portal berita.

“Pada mulanya saya menyangka berita pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua baru SPRM adalah ‘fake news’ (berita palsu). Ataupun ia satu lawak jenaka menjelang Hari Raya Aidilfitri. Tetapi setelah menyemak sebuah portal berita perlantikan itu adalah benar.

“Saya bukan hendak mempertikaikan kemampuan, kebolehan atau integriti Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty itu tetapi beliau adalah orang politik. Saya tidak tahu jawatan beliau sekarang tetapi beliau pernah memegang pelbagai jawatan di dalam PKR,” tulisnya dalam status tersebut.

Iskandar mempertikaikan perkara itu kerana menurutunya, sebuah badan yang turut akan menyiasat orang politik sepatutnya tidak diketuai oleh orang politik.

“Bukankah sebuah badan yang akan turut menyiasat orang politik sepatutnya tidak diketuai oleh orang politik?

“Walaupun Latheefa mungkin dapat berlaku adil namun ia pasti akan membuka ruang kepada pelbagai dakwaan apabila berlaku pendakwaan atau apabila terdapat kes yang dilepaskan.

“Sama ada wajar atau tidak sesuatu dakwaan itu namun ia tetap akan mewujudkan pelbagai persepsi,” katanya lagi.

Beliau berkata, SPRM akan sentiasa dipertikaikan dan perkara tersebut tidak akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap agensi tersebut.

“Ia juga tidak baik untuk imej negara di peringkat antarabangsa.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepatutnya melantik seorang tokoh yang berkecuali iaitu tanpa sebarang hubungan dengan mana-mana politik sama ada di masa kini atau di masa yang lampau dan yang dihormati oleh masyarakat. Saya yakin terdapat ramai yang memenuhi kriteria tersebut,” katanya.

Latheefa dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 1 Jun lalu, menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memilih untuk memendekkan kontrak perkhidmatan beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: Latheefa Koya ganti Mohd Shukri sebagai KP SPRM baharu

ARTIKEL BERKAITAN: Latheefa tidak lagi ahli PKR - Saifuddin


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia