Cium baju buat pengubat rindu

Empat sahabat sehidup semati.
Empat sahabat sehidup semati.
A
A
A

IPOH - Kehadiran Syawal tahun ini disambut penuh kepiluan oleh keluarga lima sahabat yang terkorban dalam tragedi kebakaran rumah kedai di kawasan perindustrian Jelapang Maju, 11 Disember lalu.

Meskipun hampir enam bulan peristiwa hitam itu berlaku, kehilangan lima rakan karib, Muhamad Azhar Shah Rosli, 19; Mohamad Ekmal Izzuddin Mohamad Kamari, 16; Mohammad Nuraiman Abdul Rahman, 16; Ahmad Faizal Aminuddin, 16 dan Mohammad Nor Ikram Mohd Husni, 15, masih begitu dirasai hingga kini.

Ibu kepada Allahyarham Mohamad Ekmal, Halijah Abd Karim, 43, mengakui, tiada hari berlalu tanpa mengingati mereka.

Meredakan perasaan sayu dan sedihnya, hanya doa yang mampu dipanjatkan agar anaknya serta rakan yang lain diletakkan dalam kalangan orang-orang beriman.

Sebagai pengubat rindu pula, setiap malam dia akan mencium baju anaknya sehinggalah dapat melelapkan mata.

"Daripada hari pertama arwah pergi, baju ni memang saya letak kat atas bantal, hari-hari saya cium, saya peluk, seolah-olah saya dapat cium dan peluk arwah.

"Kami reda dengan pemergiannya, tapi rasa hati ini sangat susah nak digambarkan... hanya Tuhan sahaja yang tahu," katanya sebak.

Dia yang ditemui di kediamannya di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Kampung Sri Aman, Menglembu berkata, kebiasaan pada Ramadan dan Hari Raya, anaknya serta rakan akan berkumpul dan melakukan aktiviti bersama di rumah itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, antara aktiviti kegemaran mereka adalah bermain gitar menyanyikan lagu-lagu raya, memasang pelita keliling kampung dan bermain mercun.

"Masih terbayang mereka duduk-duduk di laman rumah, berlari bila mercun meletup, tapi sekarang mereka dah tak ada, semuanya rasa sunyi," katanya.

Jelasnya, raya kali ini, dia turut membeli pakaian baru buat arwah dan sedekahkan kepada orang lain.

"Tiap-tiap tahun saya akan belikan untuk anak-anak, kalau tak beli untuk dia sekali, rasa lain.

"Dulu dia ada simpan RM150 untuk ambil lesen, wang itu juga saya gunakan membeli al-Quran dan niat sedekah di masjid atas nama arwah," katanya.

Dalam kejadian itu, lima remaja berkenaan bersama pemilik premis, P Thiagarajan, 40, terkorban dalam kebakaran yang berpunca daripada bahan letupan.

Ketika kejadian, mereka yang bekerja sambilan sempena cuti sekolah sedang membuat persiapan majlis di tingkat atas bangunan terbabit.

Sambut ala kadar

Bagi Ropishah Muhammad, 49, Aidilfitri tahun ini disambut penuh kesederhanaan, malah mereka sekeluarga membuat keputusan memakai baju sama tahun lalu.

Katanya, baju sedondon berwarna merah yang dipakai mereka sekeluarga tahun lepas merupakan kegemaran anak keempatnya, Allahyarham Ahmad Faizal.

"Dengan baju merah inilah kami ambil gambar sekeluarga...masih terasa seakan arwah masih bersama kami, jadi biarlah kami pakai baju sama macam tahun lepas.

"Baju Melayu merah milik arwah masih saya simpan, buat pengubat rindu kami sekeluarga," katanya.

Dia berkata, setiap kali Ramadan, arwah sangat rajin membantunya di dapur menyediakan hidangan berbuka.

"Saya dan ayahnya bekerja, jadi dialah yang banyak tolong kerja-kerja di rumah," ceritanya.

Bapa arwah, Aminuddin Tan, 51, berkata, memori tarawih dan solat Aidilfitri bersama akan terus terpahat di ingatan.

"Daripada saat dia pergi hingga hari ini, apa sahaja yang dia sering lakukan kami masih terbayang, lebih-lebih lagi raya ini.

"Biasanya kami raya di sini sahaja dan arwahlah yang paling suka sebab boleh beraya di rumah kawan-kawannya," katanya.

Kesemua mangsa yang bersahabat sejak kecil dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Pari.

Aminuddin berkata, tanah perkuburan itu seakan-akan sudah menjadi rumah kedua buat mereka.

"Saya dan keluarga lain akan bergilir-gilir pergi ziarah, kami juga adakan majlis tahlil secara bersama.

"Ramadan lepas kami pakat-pakat adakan majlis moreh di surau atas nama semua arwah," katanya.

Ahli keluarga berkongsi kenangan bersama.
Ahli keluarga berkongsi kenangan bersama.

Arwah minta raya sedondon hijau

Seolah-olah sedar akan pergi, Allahyarham Mohammad Nor Ikram pernah menyuarakan hasrat mahu berpakaian sedondon berwarna hijau pada Aidilfitri kali ini.

Ibunya, Noraziah Ropangi, 44, berkata, kata itu diungkapkan dua minggu sebelum tragedi yang meragut enam nyawa terbabit berlaku.

Katanya, ketika itu dia tidak begitu ambil kisah memandangkan perayaan Aidilfitri masih jauh.

"Selalu dia tak kisah sangat tentang pakaian raya, tapi hari itu dia cakap nak sangat pakai hijau walaupun raya lambat lagi...rupanya warna hijau yang dia maksudkan adalah pakaian terakhir yang dia pakai," katanya.

Dia berkata, sebagai mengenang arwah, mereka sekeluarga mengenakan pakaian sedondon hijau pada Aidilfitri tahun ini.

Katanya, arwah yang merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik sangat gemarkan kuih tepung pelita, kuih siput dan tempeyek.

"Sepanjang Ramadan lalu, setiap kali nampak tepung pelita, setiap kali itulah air mata saya tumpah.

"Selalu dia akan beli di bazar RM2, satu dia akan berikan kepada adiknya dan selebihnya dialah seorang yang habiskan," katanya.

Bapanya, Mohd Husni Kasman, 48, pula berkata, tahun lalu mereka pulang beraya di kampung di Teluk Intan dan anaknya itu membawa bersama rakan baiknya, Allahyarham Mohamad Ekmal dan banyak habiskan masa memancing.

"Anak saya paling muda antara mereka, tapi dialah yang paling riuh, sebab itu mereka boleh berkawan baik," katanya.

Dia berkata, arwah memang seorang anak yang pandai berdikari dan tidak pernah menyusahkan mereka sekeluarga terutama apabila berkehendakkan sesuatu.

"Macam kasut futsal, dia beli guna duit sendiri yang dia kumpul hasil kerja sambilan, seingat saya baru dipakai dua kali.

"Motosikal yang digunakan arwah pada hari kejadian pun saya simpan walaupun tiada siapa yang menggunakannya.

"Biarlah semua ini jadi kenangan kami kepada arwah," katanya.

Tiada lagi sambal tumis udang

Pada saat orang lain memilih juadah rendang dan ketupat, Allahyarham Mohammad Nuraiman lebih gemar makan sambal tumis udang meskipun di pagi raya.

Kenangan itu dikongsi ibunya, Junaida Ibrahim, 40, yang memberitahu, setiap tahun hidangan itu akan menjadi menu raya mereka sekeluarga hanya kerana permintaan anak sulungnya itu.

"Dia memang suka sambal udang, raya pun nak makan sambal udang dan saya memang akan masakkan untuk dia," katanya.

Ayah arwah, Abdul Rahman Bahak, 46, berkata, anaknya suka berkunjung ke bazar setiap kali Ramadan.

"Hampir setiap hari mesti nak ke bazar, biasa dia minta duit dari saya atau maknya kalau nak beli apa-apa," katanya.

Disebabkan tragedi yang menimpa anaknya itu, dia mengakui agak fobia setiap kali mendengar bunyi letupan mercun. "Macam terdengar-dengar jeritan mereka," katanya.

Anak muda ringan tulang

Kehilangan lima anak muda dari RPT Kampung Sri Aman itu turut dirasai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Pengerusinya, Azha Md Isa berkata, pada musim perayaan tahun lima, mereka banyak membantu menguruskan agihan bantuan kepada penduduk kampung.

"Daripada mula proses bungkusan hinggalah agihan rumah ke rumah, merekalah yang banyak bantu, cukup saya panggil seorang, automatik yang lain akan turun sama bantu kami.

"Sikap ringan tulang macam ni secara tak langsung mudahkan gerak kerja kami di MPKK," katanya.

Katanya, pihaknya juga berkongsi rasa sedih kehilangan bersama ahli keluarga yang lain.

"Alhamdulillah, semua proses bantuan berjalan lancar dan kali terakhir bantuan diterima adalah pada Mac lalu daripada kerajaan negeri," katanya.