60 peratus sampel makanan bazar Ramadan di KL tercemar

Pelanggaran sampel dikenal pasti hasil pemeriksaan ke atas 3,591 peniaga bazar Ramadan bawah program pemantauan makanan di bazar Ramadan.
Pelanggaran sampel dikenal pasti hasil pemeriksaan ke atas 3,591 peniaga bazar Ramadan bawah program pemantauan makanan di bazar Ramadan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - 60 peratus daripada 1,144 sampel makanan yang diambil dari bazar Ramadan seluruh Kuala Lumpur sehingga 28 Mei lalu didapati tercemar dengan bakteria.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Norhaslinda Nordin berkata, pelanggaran sampel itu dikenal pasti hasil pemeriksaan ke atas 3,591 peniaga bazar Ramadan bawah program pemantauan makanan di bazar Ramadan.

Bagaimanapun menurutnya, tiada sebarang aduan diterima setakat tarikh tersebut daripada orang awam berkaitan isu kebersihan dan tiada jumlah aduan mengenai keracunan makanan diterima.

“Sejumlah 61 kompaun dikeluarkan kerana kesalahan pelanggaran sampel makanan.

“Manakala, 11 kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Makanan (WP) dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 dikeluarkan kerana kesalahan tiada suntikan typhoid.

“Sementara kesalahan lain adalah dua kompaun iaitu penggunaan polisterina,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Norhaslinda, program pemantauan makanan di Bazar Ramadan telah dijalankan DBKL sejak tahun 1997.

Katanya, kebanyakan pelanggaran dari hasil penilaian makmal terhadap makanan yang dikaji adalah terdiri dari E coli, Basilus, Coliform yang kaitannya dengan ‘personel hygiene’ pengendali makanan serta kaedah cara menyediakan masakan.

Artikel Berkaitan:

“Program ini ditujukan kepada peniaga bazar Ramadan dan kepada pembeli di mana peniaga dididik untuk mereka mematuhi kehendak-kehendak kesihatan dalam pengendalian makanan.

“Manakala pembeli dididik supaya menggunakan hak mereka sebagai pembeli untuk memilih makanan yang bersih serta selamat dimakan tanpa memberi risiko kepada mereka,” katanya.