Bekalan air di Klang pulih sepenuhnya

No Image Caption
A
A
A

KLANG – Bekalan air di semua kawasan di Klang yang terjejas berikutan insiden paip utama pecah di Setia Alam di sini, pulih sepenuhnya, semalam.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, pihaknya menjalankan pemantauan berterusan termasuk bacaan tekanan pada sistem sistem agihan.

“Hasil pemantauan dan bacaan itu mendapati bekalan air di semua kawasan yang terjejas ekoran insiden paip pecah di Setia Alam sudah pulih sepenuhnya.

“Kami berterima kasih kepada semua pihak terutama pelanggan atas kerjasama sepanjang tempoh gangguan dan pemulihan bekalan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, status terkini mengenai gangguan bekalan air tidak berjadual itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan pengguna boleh merujuk laman sesawang www.syabas.com.my.

“Selain itu mereka juga boleh melayari Facebook (FB) Air Selangor, Twitter @air_selangor dan aplikasi telefon pintar Air Selangor yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan bekalan air kepada 155,000 akaun pengguna di Klang dan Kuala Langat terjejas selepas paip utama bersaiz 1,800 millimeter (mm) pecah di Setia Alam, pada jam 8 pagi kelmarin.

Paip utama itu membekalkan air kepada 84 taman perumahan di Klang serta sembilan di Kuala Langat dan ia membabitkan kawasan yang besar.

Artikel Berkaitan: