'Ah long' bawah umur dan rakan didakwa kes ceti haram

Seorang remaja bawah umur bersama rakannya didakwa di Mahkamah Majistret Taiping, hari ini atas kesalahan menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen pada bulan lalu.
Seorang remaja bawah umur bersama rakannya didakwa di Mahkamah Majistret Taiping, hari ini atas kesalahan menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen pada bulan lalu.
A
A
A

TAIPING - Dua 'ah long' termasuk seorang remaja bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret Taiping di sini atas kesalahan menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen pada hujung bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan terhadap remaja terbabit yang berumur 17 tahun kerana kesalahan juvana manakala rakannya, K Guruprasanth,19, mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Hairol Jemain.

Mengikut pertuduhan, pada jam 3.15 petang 27 Mei lalu, kedua-dua tertuduh didakwa mengugut T Kaneshan,36, yang telah meminjam sebanyak RM350 bertempat di sekitar Jalan Pokok Assam di sini.

Mereka didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 29(B) Akta Pemberi Wang dibaca bersama Seksyen 24 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(B) (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM50,000 sehingga RM250,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Raihan Rithwan memohon mahkamah menetapkan nilai jaminan sebanyak RM15,000 kerana kes ini membabitkan kepentingan awam.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM4,000 dan RM6,000 berserta seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 24 Julai hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan lantikan peguam dibuat kedua-dua tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, remaja bawah umur itu dan Guruprasanth turut didakwa menyertai satu rusuhan secara bersama di sebuah rumah di Jalan 5, Pokok Assam di sini pada jam 2 petang, 27 Mei lalu bersama empat lagi tertuduh.

Empat tambahan tertuduh iaitu Teoh Jin Hao,23; T Kaneshan,36; S C S Ravishankar,53, termasuk seorang lagi remaja bawah umur berusia 18 tahun bersama dua tertuduh awal didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan di mahkamah sama.

Empat daripada tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan, manakala dua remaja bawah umur terbabit tidak direkodkan pengakuan kerana pesalah juvana.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap empat tertuduh terbabit, manakala dua pesalah bawah umur terbabit dibenarkan ikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 24 Julai hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes membabitkan dua remaja juvana berkenaan bagi mendapatkan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).