Mohd Amar sedia pertahan jawatan Naib Presiden Pas

Mohd Amar ditemui pada sidang akhbar Majlis Kunjungan Imam Kerajaan Arab Saudi di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.
Mohd Amar ditemui pada sidang akhbar Majlis Kunjungan Imam Kerajaan Arab Saudi di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan akan mempertahankan jawatan Naib Presiden dalam Muktamar Pas ke-65 yang akan berlangsung di Indera Mahkota, Pahang pada minggu ketiga, bulan depan.

Mohd Amar berkata, beliau mengambil keputusan itu kerana mendapati pencalonannya bagi sesi 2019-2021 mengatasi bilangan pencalonan pada sesi terdahulu.

“Saya dapat tahu, saya menerima pencalonan yang banyak, agak sukar jika saya tarik diri malah ini menunjukkan ahli-ahli mahu saya terus berjasa kepada parti.

“Ia juga memberi ruang untuk saya untuk menyumbang, lebih-lebih lagi berbekalkan pengalaman berkhidmat dengan kerajaan,” katanya pada sidang akhbar Majlis Kunjungan Imam Kerajaan Arab Saudi di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Mohd Amar berkata, beliau tidak kisah dengan keputusan akhir pemilihan dan menyerahkan undian tersebut kepada kebijaksanaan ahli.

Katanya, sesiapa sahaja yang menang jawatan itu merupakan rakan-rakan seperjuangannya.

“Saya akan pertahankan jawatan itu tetapi saya tak akan berkempen namun saya tidak kisah jika ada pihak menggerakkan kempen atas kapasiti peribadi.

“Ikutkan saya, tiada gerak kerja secara rasmi yang membawa nama saya untuk mengisi jawatan tersebut sebab bagi saya, jika berkempen sehingga memburukkan calon lain, agak tidak sesuai, saya juga tak suka,” katanya hari ini.

Artikel Berkaitan:

Dua hari lalu, dua tokoh berpengaruh dan dilihat dekat dengan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dijangka cuba diketengahkan sebagai wajah baharu mengisi jawatan naib presiden Pas.

Menurut laporan Malaysiakini, usaha daripada peringkat bawahan cuba menonjolkan Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengisi dua daripada tiga kerusi jawatan itu.

Untuk rekod, Nik Abduh ialah anak bekas Menteri Besar Kelantan, manakala Ahmad Samsuri sekarang berkhidmat sebagai Menteri Besar Terengganu.