Alahai kasihannya nenek...

Fan Cheng (tengah) bersama Pegawai Pusat Khidmat Ahli Parimen Ipoh Timur, Steven Tiw Tee Siang (kiri) pada sidang media, hari ini.
Fan Cheng (tengah) bersama Pegawai Pusat Khidmat Ahli Parimen Ipoh Timur, Steven Tiw Tee Siang (kiri) pada sidang media, hari ini.
A
A
A

IPOH - Seorang warga emas kehilangan wang simpanan berjumlah RM55,000 selepas ditipu satu sindiket scam yang menyamar sebagai pekerja pejabat pos dan pegawai polis, dua minggu lalu.

Choong Fan Cheng, 69, berkata, pada 8 Disember lepas, dia menerima satu panggilan daripada seseorang yang mengaku bekerja sebagai pekerja Pos Malaysia memberitahu terdapat bungkusan mengandungi kad pengenalan dan kad kredit miliknya yang tidak dituntut.

Menurutnya, talian itu kemudiannya disambung kepada seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, Terengganu.

"Saya katakan yang kad pengenalan ada bersama saya, malah saya sendiri tidak pernah memohon kad kredit daripada mana-mana bank, sebab itu dia menyambungkan talian kepada anggota polis, kononnya untuk membuat laporan polis.

"Individu yang menyamar polis itu pula memberitahu saya terlibat dengan satu kes pengubahan wang haram dan meminta menyerahkan semua wang yang ada di dalam akaun," katanya kepada pemberita ketika membuat aduan di Wisma Impian, hari ini.

Fan Cheng yang merupakan pesara kerajaan berkata, lelaki mengaku pegawai polis itu memintanya memindahkan wang ke satu akaun bank atas nama Kang Swee Leng dan mengungut untuk membekukan akaun sekiranya tidak melakukan demikian.

Dia yang takut dengan ugutan itu membuat pemindahan wang melalui dua transaksi masing-masing sebanyak RM25,000 dan RM23,000 ke akaun diberikan.

“Lelaki itu juga meminta saya hadir ke mahkamah untuk proses perbicaraan kes, apabila saya katakan tidak dapat hadir, mereka memaksa saya memindahkan wang untuk menyelesaikan urusan jaminan sebanyak RM7,000,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Fan Cheng berkata, dia hanya menyedari dirinya ditipu sindiket scam apabila nombor telefon berkenaan gagal dihubungi, sebaik semua urusan pemindahan wang selesai.

Katanya, satu laporan polis berhubung kejadian itu dibuat di Balai Polis Sungai Senam, 13 Disember lalu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby ketika dihubungi mengesahkan laporan dibuat.

Katanya, berdasarkan keterangan mangsa, suspek memperdaya mangsa untuk memasukkan sejumlah wang bagi menyelesaikan satu kes polis yang tidak wujud.

"Kes masih dalam siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.