Hati-hati pulang beraya, ingatlah yang tersayang!

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua hari sahaja lagi, umat Islam akan menyambut Aidilfitri dan pastinya ramai yang sibuk membuat persiapan untuk pulang ke kampung.

Selain baju baru, wang dan kuih raya untuk yang tersayang, mereka yang mahu pulang ke kampung halaman perlulah mengutamakan soal keselamatan diri dan kenderaan.

Ini kerana, suka atau tidak, musim perayaan sering dikaitkan dengan insiden kemalangan jalan raya.

Terbabas, memasuki laluan bertentangan, cuba memotong kederaan lain, menukar lorong, cuai semasa keluar atau masuk simpang, tidak sedar atau nampak kenderaan lain, mengekori rapat kenderaan lain, membuat pusingan U, melawan aliran trafik, leka, letih dan mengantuk adalah antara punca kemalangan sehingga meragut nyawa.

Melihat laporan berita mengenai keluarga meratapi pemergian insan tersayang akibat kemalangan semasa musim perayaan membuatkan ramai turut merasai kesedihannya.

Pastikan tahap kenderaan

Pengarah Pusat Keselamatan dan Biomekanik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Ir. Dr Khairil Anwar Abu Kassim berkata, pertambahan kenderaan di jalan raya pada musim perayaan menyebabkan kadar pendedahan antara satu sama lain adalah lebih tinggi, sekaligus menyebabkan kebarangkalian berlakunya pelanggaran.

“Beberapa pendekatan boleh diambil bagi mengelak risiko daripada berlakunya kemalangan maut. Paling utama, lengkapkan kenderaan pada tahap terbaik sebelum perjalanan.

Artikel Berkaitan:

“Tidak kira apa pun jenis kenderaan, sama ada kereta atau motosikal, ia adalah ‘alat’ untuk kita sampai ke destinasi. Jadi, pastikan ia berada pada tahap layak dipandu di jalan raya.

“Kita juga perlu maklum tahap keselamatan kenderaan itu sendiri. Dua elemen yang tidak boleh diabaikan ialah keadaan tayar dan brek. Jika kedua-duanya berada pada tahap terbaik, sekurang-kurangnya kita mempunyai kemampuan untuk mengelak daripada kemalangan,” katanya kepada Bernama.

Bahaya 'microsleep'

Mengenai kemalangan yang berlaku disebabkan terlelap semasa memandu atau ‘microsleep’, Khairil Anwar berkata ia boleh berlaku pada bila-bila masa terutama apabila pemandu berasa letih dan kemungkinan terlelap seketika.

Perjalanan pulang ke kampung dengan jarak yang lebih jauh ketika sedang menjalani ibadah puasa antara yang boleh mengundang rasa letih dan mengantuk yang sangat tinggi.

“Dalam hal ini, tiada jalan lain melainkan pemandu perlu berhenti seketika untuk berehat atau tidur, membasuh muka ataupun berhenti solat bagi membolehkan pemanduan seterusnya menjadi lancar tanpa potensi untuk ‘microsleep’.

“Persiapan pemandu juga amat penting. Elakkan memandu sekiranya mengantuk kerana satu saat yang melalaikan pasti akan membawa padah.

“Penumpang juga berperanan untuk terus mengingatkan pemandu supaya sentiasa memandu dengan berhati-hati,” katanya.

Pandu berhemah, sabar

Pengguna jalan raya juga perlu mengamalkan pemanduan secara berhemah di samping sifat sabar yang tinggi ketika musim perayaan.

Selain perlu menerima hakikat bahawa pada musim perayaan kenderaan akan bertambah, mereka juga perlu bersedia dengan kemungkinan untuk tiba lewat di lokasi yang dituju.

“Menyedari bahawa kita akan sampai lambat dan menerima keadaan itu sebelum kita memandu adalah satu keperluan.

“Jika semua mengamalkan pemanduan secara berhemah dan mematuhi peraturan serta undang-undang jalan raya yang ditetapkan, kita pasti dapat pulang ke kampung halaman masing-masing dalam keadaan selamat.

“Janganlah kerana perbuatan kita menyebabkan orang lain atau kita sendiri menerima akibat buruk dan ditimpa musibah. Memandu pulang ke kampung semasa musim perayaan, sabar adalah kuncinya,” katanya.

Khairil Anwar berkata di seluruh dunia, statistik menunjukkan bahawa 80 hingga 90 peratus kemalangan disebabkan kelalaian manusia.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman melaporkan bahawa Op Selamat 13 yang dilaksanakan sempena Aidilfitri 2018 menunjukkan penurunan kes kemalangan dan kematian berbanding Op Selamat 11 pada 2017.

Op Selamat 13 mencatatkan 189 kes di seluruh negara yang menurun 9 peratus berbanding 207 kes semasa Op Selamat 11.

Namun, penunggang dan pembonceng motosikal masih menjadi penyumbang utama kemalangan maut dengan mencatatkan 119 kes pada Op Selamat 13.

Selain jumlah kematian menurun sebanyak 25 kes dengan mencatatkan 200 kes berbanding 225 kes pada 2017, jumlah kemalangan yang menyebabkan kecederaan parah turut berkurangan kepada 72 kes berbanding 106 kes pada 2017. - Bernama