Agihan zakat: Tak perlu politikkan isu pemimpin bukan Islam

Ketua Menteri, Adly Zahari menyerahkan sebahagian barangan jualan di program Pasar Harapan Rakyat D'Ambang Aidilfitri di Dewan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Telok Mas, di sini, hari ini.
A
A

MELAKA - Tindakan pihak yang cuba mempolitikkan isu pemimpin bukan beragama Islam menyampaikan bantuan termasuk zakat hanya akan merugikan umat Islam secara keseluruhan.

Menurut Ketua Menteri, Adly Zahari, sumbangan yang dibuat di tempat tertentu juga tidak seharusnya menjadi halangan dalam membuat kebaikan termasuk menyampaikan bantuan.

Jelasnya, setiap agama mempunyai peraturannya tersendiri, selain harus akur kepada arahan pihak berkuasa.

Justeru, beliau berkata, kerajaan PH tidak mahu isu sedemikian akhirnya menjadikan rakyat negeri ini sebagai mangsa, berbanding matlamat dan tujuan asal untuk menyampaikan bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

"Di Melaka, kita mempunyai wakil rakyat pelbagai kaum, di mana mereka sendiri mempunyai peruntukan di peringkat DUN. Jadi, tidak berbangkit soal pemberian zakat dan sebagainya.

"Sebahagian peruntukan ini adalah untuk kebajikan kepada rakyat. Tidak seharusnya sumbangan ini cuba dipolitiknya kerana di bulan Ramadan ini kita harus berlumba untuk berbuat kebaikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pasar Harapan Rakyat D'Ambang Aidilfitri di Dewan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Telok Mas, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Wanita PH Melaka, Mahani Masban.

Mengulas mengenai program anjuran Wanita PH Kota Melaka itu, Adly berkata kerajaan Melaka berhasrat memperluaskan program Pasar Harapan Rakyat itu yang tidak bermotifkan keuntungan sebaliknya membantu meringankan beban rakyat melalui penjualan barangan pada harga kos.

"Acara ini membuktikan pemuafakatan wanita PH dalam penganjuran program yang dapat menyatupadukan rakyat melalui aktiviti amal seperti jualan pakaian terpakai, pasar peduli, serta aktiviti sampingan termasuk kacau dodol dan memasak bubur lambuk.

"Kita mahu program ini diperluaskan dan tidak terhad di musim perayaan kerana inisiatif yang baik wajar dikembangkan pada bulan-bulan seterusnya," katanya.