Berbuka puasa di kuil: Pemuda UMNO Johor kecam Mujahid

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Johor, Johan Azam Mohd Yasin
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Johor, Johan Azam Mohd Yasin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemuda UMNO Johor mengecam kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf yang mempertahankan tindakan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir yang hadir Majlis Iftar Muhibbah di Gurdwara Sahib di sini baru-baru ini.

Ketua Penerangannya, Johan Azam Mohd Yasin berkata, Mujahid seakan-akan tidak serik dan sering melindungi rakan politik walaupun tindakan dilakukan menimbulkan fitnah di kalangan masyarakat serta agama.

"Mujahid juga tidak mengambil kira pandangan beberapa mufti atas perkara ini. Kenyataan Menteri Agama yang menyatakan program itu tidak bertentangan dengan agama menzahirkan sikap acuh tidak acuhnya terhadap kesucian agama Islam itu sendiri.

"Seharusnya beliau perlu menasihati Akmal Nasir, bukannya mempersendakan kenyataan-kenyataan orang yang layak memberi hukum agama di negara ini," katanya di sini hari ini.

Johan berkata, mana-mana pihak yang berhasrat meraikan kepelbagaian beragama atas dasar membina sifat muhibah, perpaduan dan keharmonian kaum disyorkan memilih program lain demi mengelak timbul fitnah terhadap aqidah pegangan umat Islam.

"Perkara ini perlulah dijauhkan dan dihindari bagi mengelak persepsi negatif masyarakat Islam kononnya ibadat boleh dilakukan di rumah ibadat bukan Islam kerana Allah telah menentukan setiap agama mempunyai rumah ibadat tersendiri agar dapat membezakan identiti agama.

"Kembalilah kepada Al Quran dan Sunnah. Usah mempergunakan agama untuk tujuan politik. Sultan Johor turut berdukacita dengan kelakuan Ahli Parlimen Johor Bahru seperti mengunakan Agama dalam tujuan Politik," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hindar Islamofobia dengan fahaman agama sempit, kata Mujahid

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Mujahid berkata, berhubung isu penganjuran majlis berbuka puasa di Kuil Gurdwara Sikh, Johor Bahru oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir baru-baru ini, pihaknya meneliti penjelasan diberikan pemimpin PKR itu dan menyifatkan program itu tidak menyimpang daripada landasan Islam.

Menurutnya, sebagai seorang pemimpin masyarakat, adalah tidak salah Akmal menganjurkan majlis sebegitu atas usaha mempromosi semangat keharmonian antara kaum dan agama.

"Dalam penjelasan YB Akmal, bukan beliau sahaja yang berbuka puasa dengan pengurusan kuil, tetapi majlis berbuka puasa turut disertai ramai masyarakat Islam Parlimen Johor Bahru.

"Selain itu, beliau turut menjelaskan program itu diadakan di kawasan dewan kuil bukan tempat mereka beribadat, bahkan Akmal sendiri turut menekankan beliau menunaikan solat Maghrib dan tarawih di masjid bukan di kuil itu.

"Jadi saya tidak nampak sebab isu pemahaman agama sempit ini perlu diperbesar dan disensasikan segelintir pihak bagi mendapatkan laba politik," katanya.