Padah jual mercun, bunga api di bazar Ramadan

Mercun dan bunga api yang dirampas dalam operasi di bazar Ramadan Bandar Kota Tinggi, malam semalam.
Mercun dan bunga api yang dirampas dalam operasi di bazar Ramadan Bandar Kota Tinggi, malam semalam.
A
A
A

KOTA TINGGI - Tindakan empat peniaga menjual mercun membawa padah apabila ditahan polis dalam operasi dilakukan di kawasan Bazar Ramadan Bandar Kota Tinggi, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan kegiatan penjualan mercun kira-kira jam 9 malam sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi telah membuat serbuan dan tangkapan di empat lokasi yang berlainan.

"Hasil serbuan pihak kami berjaya menangkap dua lelaki warga tempatan, seorang perempuan warga tempatan dan seorang lelaki warganegara Kemboja lingkungan umur 17 tahun hingga 40 tahun yang ditahan bersama pelbagai jenis bunga api dan mercun.

"Kesemua suspek dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda yang boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya.

"Bagi tangkapan melibatkan warganegara Kemboja pula disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (PIN.2002)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, susulan Ops Bersepadu itu pihak polis telah berjaya merampas sebanyak 254 kotak yang mengandungi pelbagai jenis bunga api dan mercun dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai hampir RM20,000.

Artikel Berkaitan: