Ops Khas Pagar Laut pantau perairan musim perayaan

Rozali (tiga dari kiri) bersama sebahagian anggota APMM selepas mengagihkan juadah berbuka kepada nelayan.- Foto: APMM Kedah/Perlis
Rozali (tiga dari kiri) bersama sebahagian anggota APMM selepas mengagihkan juadah berbuka kepada nelayan.- Foto: APMM Kedah/Perlis
A
A
A

LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis mempertingkatkan rondaan dan operasi di perairan negara menerusi Ops Khas Pagar Laut sepanjang musim perayaan, bermula 25 Mei hingga 14 Jun ini.

Pengarah APMM negeri, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berkata, operasi itu adalah untuk mengekang kegiatan jenayah di laut, penyeludupan bahan mentah serta bahan kawalan, selain mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara jiran serta kemasukan nelayan asing.

Menurutnya, sehubungan itu, 50 peratus daripada anggota APMM Kedah dan Perlis akan ditugaskan sepanjang musim perayaan ini.

“Jumlah aset juga ditambah kepada tiga buah pada waktu kritikal. Kesemua aset ini akan bertugas secara bergilir-gilir selama 24 jam bagi memastikan perairan negara aman dan terkawal,” katanya, selepas majlis penyerahan kurma dan juadah berbuka puasa kepada nelayan sekitar perairan Langkawi, semalam.

Rozali (kanan) menyerahkan sumbangan juadah berbuka puasa kepada nelayan yang ditemui. - Foto APMM Kedah/Perlis
Rozali (kanan) menyerahkan sumbangan juadah berbuka puasa kepada nelayan yang ditemui. - Foto APMM Kedah/Perlis

Rozali berkata, program sumbangan kurma dan juadah kepada nelayan antara usaha mendekati komuniti nelayan selain program Kampung Angkat yang dilaksanakan baru-baru ini.

“Kita mohon kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri,” katanya.

Menurutnya, sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh hubungi talian 24 jam, iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750.

Artikel Berkaitan: