Wujud pangkalan data untuk golongan asnaf

Dzulkefly (kiri) beramah mesra dengan salah seorang penerima.
Dzulkefly (kiri) beramah mesra dengan salah seorang penerima.
A
A
A

GELANG PATAH - Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar sedang dalam usaha membina pangkalan data untuk golongan asnaf di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad berkata, berikutan itu, pihaknya sedang menggembleng tenaga untuk menjayakannya.

"Setakat ini terdapat 800 nama daripada golongan asnaf yang telah dikenal pasti di bawah kawasan pentadbiran Kota Iskandar.

"Saya yakin masih terdapat lagi senarai nama yang belum kita kumpulkan kerana mengikut senarai nama e-kasih masih lagi belum lengkap.

"Oleh itu, saya memerlukan kerjasama daripada ketua kampung, majlis pengurusan komuniti kampung (MPKK) dan Ahli Majlis untuk melengkapkan senarai nama golongan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Sumbangan Asnaf Ramadan 1440 Hijrah di Dewan Raya Paya Mengkuang, di sini hari ini.

Program berkenaan melibatkan 40 penerima di kawasan Paya Mengkuang yang mana masing-masing menerima duit raya.

Dzulkefly yang juga Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri berkata, pangkalan data itu bertujuan supaya tidak akan ada nama yang tercicir.

Artikel Berkaitan:

"Berikutan itu, bantuan dapat disalurkan secara kepada pihak yang memerlukan tidak kira apa jenis perayaan sekalipun," katanya.