YBK bantu lima beradik beli baju raya

Muhammad Sherhan Nizam (kanan) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Intan Mazriza di rumah keluarga tersebut di Datuk Keramat hari ini.
Muhammad Sherhan Nizam (kanan) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Intan Mazriza di rumah keluarga tersebut di Datuk Keramat hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semangat si ibu yang tidak patah semangat mencari sumbangan baju raya buat lima anaknya berhasil selepas dibantu Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) yang menghulurkan bantuan hari ini.

Keresahan Intan Mazrisa Mohammad Noor, 36, akan persiapan anak-anaknya itu mula diluahkan sejak diawal Ramadan memohon bantuan kepada Sinar Harian untuk memanjangkan permasalahannya.

Walaupun hidup susah, dia nekad mahu anak-anaknya berusia 11 hingga setahun turut bergembira seperti kanak-kanak lain berbaju baharu di pagi Syawal.

Dia bergantung hidup dengan pendapatan suaminya kerana dia tidak bekerja selepas disarankan doktor untuk tidak melakukan kerja-kerja berat selepas menjalani pembedahan pundi kencing, tiga tahun lepas.

Melalui bantuan Baitulmal secara bulanan sebanyak RM500, ia sedikit sebanyak meringankan beban perbelanjaan rumah yang ditanggung termasuk sewa rumah RM450 dan kos rawatan dua anaknya yang menghidap enzema.

Intan Mazriza berkata, pendapatan suaminya sebanyak RM650 sebagai pembantu peniaga pasar malam tidak cukup menampung keperluan keluarga.

"Sebelum ini barang keperluan makanan pun tidak mencukupi. Saya lega dan gembira kerana masalah saya untuk baju raya anak-anak selesai, kalau tidak saya terpaksa pinjam orang untuk kelengkapan raya," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar YBK, Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz berkata, wang tunai sebanyak RM600 disalurkan kepada keluarga berkenaan di bawah sumbangan Sinar Kasih Ramadan (SKR).

Artikel Berkaitan:

"Program SKR adalah program YBK yang dilaksanakan setiap tahun menjelang Ramadan. Keluarga yang terpilih akan menerima wang tunai bagi perbelanjaan berbuka dan bersahur serta keperluan bersesuaian," katanya.

Sejak dilaksanakan pada 2002, hampir 3,000 keluarga telah memperoleh manfaat dan dana sumbangan ini adalah daripada derma orang awam, organisasi dan badan korporat dan disalurkan kembali kepada keluarga yang layak.