X

Kindly register in order to view this article
!

SPAN nasihat pengguna ambil langkah elak bekalan air terputus

Charles Santiago
A
A

CYBERJAYA - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menasihati pengguna supaya mengambil langkah-langkah perlu bagi memastikan bekalan air tidak terputus ketika minggu sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pengerusi SPAN, Charles Santiago berkata, setiap musim perayaan terutamanya Hari Raya Aidilfitri, warga kota akan pulang ke kampung halaman dan keadaan ini akan menyebabkan permintaan bekalan air di kawasan-kawasan tersebut meningkat dengan mendadak berbanding kebiasaan.

“Sistem bekalan air seperti loji rawatan air, paip dan tangki agihan di kawasan-kawasan berkenaan memang tidak direka bentuk untuk memenuhi permintaan tinggi yang berlaku sekitar dua minggu dalam setahun.

“Oleh yang demikian, kekurangan bekalan air dijangkakan di kawasan luar bandar yang boleh menyebabkan gangguan atau tekanan rendah semasa musim Hari Raya Aidilfitri,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Sehubungan itu katanya, pengguna disarankan untuk memainkan peranan bagi memastikan bekalan air yang mencukupi dan langkah-langkah berikut dapat mengurangkan kesulitan sekiranya berlaku gangguan:

(i) Menggunakan air secara berhemat dan jangan membazir (ketika ini penggunaan air secara purata adalah sebanyak 201 liter sehari bagi setiap orang, berbanding dengan sasaran iaitu maksimum 180 liter sehari bagi setiap orang);

(ii) Menyimpan air dengan secukupnya sebelum tiba musim perayaan;

(iii) Melaporkan segera kepada syarikat air di negeri masing-masing sekiranya ternampak paip bocor atau paip pecah di mana-mana kawasan;

(iv) Melayari laman web atau memuat turun aplikasi telefon pintar syarikat air negeri untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air.

Pada masa yang sama katanya, semua syarikat air negeri perlu mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan bekalan air yang mencukupi dan berterusan. Antara langkah-langkah yang perlu diambil oleh syarikat air negeri bagi mengurangkan gangguan bekalan air adalah seperti berikut:

(i) Membuka bilik gerakan 24 jam di negeri masing-masing untuk memantau keadaan bekalan air sepanjang tempoh musim perayaan;

(ii) Memantau dengan lebih rapi semua paras empangan, sungai dan muka sauk loji serta paras air di tangki simpanan utama di sistem agihan sebagai langkah pro-aktif untuk mengelak atau mengurangkan gangguan;

(iii) Menempatkan tangki-tangki statik di kawasan-kawasan kritikal yang berkemungkinan menghadapi kekurangan bekalan air semasa waktu puncak;

(iv) Menghantar lori-lori tangki ke kawasan-kawasan yang menghadapi gangguan bekalan air sama ada terus ke premis pengguna atau tangki-tangki statik untuk diambil oleh pengguna;

(v) Bersiap siaga dengan jentera, kenderaan, alat kelengkapan dan tenaga kerja bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan dengan seberapa segera sekiranya berlaku kerosakan loji atau paip pecah;

(vi) Merancang kerja-kerja penyenggaraan lebih awal untuk mengelakkan waktu perayaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus