Mazlan sedia bekerjasama dengan Menteri Besar Johor

Mazlan (tiga, kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.
Mazlan (tiga, kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengerusi Bersatu Negeri, Mazlan Bujang bersedia bekerjasama dengan Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal untuk kemajuan parti berkenaan.

"Tidak ada masalah (bekerjasama). Dia pun (Sahruddin) tidak ada masalah bekerjasama dengan saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Mazlan berbincang dengan Sahruddin untuk mencari persefahaman demi kelancaran pentadbiran parti dan negeri.

Muhyiddin berharap perkembangan dalaman parti berkenaan tidak menjejaskan hubungan dan perpaduan semua pihak.

Terdahulu, Mazlan menyempurnakan Majlis Sumbangan Hari Raya anjuran Yayasan Bandaraya Johor Bahru kepada seramai lebih 300 penerima.

Sumbangan berkenaan berupa wang tunai RM100 serta barangan keperluan harian kepada golongan yang memerlukan sebagai persediaan untuk menyambut Syawal.

Ujar Ketua Bersatu Bahagian Tebrau lagi, beliau ada bertemu secara tidak formal dengan Menteri Besar untuk berbincang soal parti mereka.

"Secara formal (perjumpaan) belum lagi. Tetapi, secara tidak formal, kami ada berbincang ketika berjumpa dalam dua atau tiga program hari raya di kawasan Dun Tiram dan majlis berbuka puasa baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita tiada masalah. Saya menguruskan hal-hal parti dan Yang Amat Berhormat (Sahruddin) menguruskan hal kerajaan.

"Sebenarnya bukan saya tidak offer (tawar jawatan kekal sebagai Setiausaha Bersatu Johor), tetapi dia minta mahu fokus pada kerajaan negeri," katanya.

Sebelum ini, Mazlan memulakan tugas sebagai Pengerusi Bersatu negeri dan mengumumkan pelantikan beberapa ahli jawatankuasa baharu termasuk Setiausaha, Mohd Solihan Badri yang juga Ketua Bahagian Ledang bagi menggantikan Sahruddin.

Mazlan yang digugurkan daripada barisan Exco baharu kerajaan Johor April lalu dan dilantik sebagai Pengerusi Bersatu Johor dengan pengesahan jawatan itu dibuat Pengerusi parti, Tun Dr Mahathir Mohamad.