Saya terus tentang operasi Lynas: Wong Tack

Wong Tack
Wong Tack
A
A
A

KUANTAN - Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack akan terus menentang hasrat kerajaan yang akan terus membenarkan Lynas Sdn Bhd (Lynas) beroperasi di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap kilang memproses nadir bumi itu kerana keputusan itu merupakan keputusan rakyat.

Menurutnya, Lynas selama enam tahun beroperasi sebenarnya tidak memenuhi kriteria yang diperlukan dalam memastikan kesejahteraan, kesihatan dan alam sekitar.

"Ini merupakan aspirasi rakyat Pahang khususnya penduduk di Kuantan yang tidak mahu Lynas berada di Pahang kerana sisa pepejal yang disimpan boleh memudaratkan kesihatan.

"Kita tetap akan menentang dan tidak akan berkompromi dengan mereka (Lynas), ini perjanjian kita pada rakyat dan mereka juga tidak mematuhi syarat undang-undang yang ditetapkan kerajaan," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Wong Tack berkata tiada salah untuk Lynas memperbaharui lesen jika ia benar-benar mematuhi undang-undang.

Menurutnya, kerajaan sememangnya mengambil serius isu Kilang Lynas di Gebeng dan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin akan ke Australia mengadakan perbincangan dengan kerajaan baharu negara tersebut yang baharu sahaja tamat pilihan raya umum.

"Saya yakin kerajaan tidak akan meneruskan Lynas begitu sahaja kerana perbincangan masih dijalankan disebabkan Lynas telah melanggar undang-undang negara kita.

Artikel Berkaitan:

"Dalam perjanjian, sepatutnya sisa buangan ‘Neutralization Underflow Residue’ (NUF) dibawa pulang ke Australia.

"Tapi tidak berlaku dan mereka ambil tindakan menyimpan sebanyak 1.13 juta tan sisa tersebut yang disimpan di tepi kilang. Kalau tahu jadi begini pasti kerajaan tidak membenarkan kilang Lynas dibina di Malaysia," katanya.