Tingkatkan keselamatan komputer di musim perayaan, cegah ancaman siber

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR Sejak Januari hingga April tahun ini, sebanyak 2,977 insiden keselamatan siber dilaporkan, kebanyakannya berkaitan dengan penipuan (fraud), pencerobohan (intrusion) dan kod jahat (malicious code).

Sehubungan itu, pengguna Internet dan pentadbir sistem digesa untuk meningkatkan keselamatan sistem dan rangkaian komputer di organisasi masing-masing daripada ancaman siber sewaktu sambutan Hari Raya Aildilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutif Cybersecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab dalam satu kenyataan berkata pengguna Internet perlu mengambil langkah keselamatan sewajarnya, yang antara lain dengan memastikan komputer dan penyemak imbas dikemas kini dengan peningkatan terkini dan 'patch' keselamatan.

Selain itu, pengguna Internet juga boleh memasang perisian Anti-Virus yang sentiasa dikemaskini pada gajet seperti telefon pintar untuk menghalang jangkitan malware dan mengesan virus terkini, katanya.

'’Jangan sewenang-wenang klik pada pautan yang diterima melalui e-mel atau media sosial termasuk aplikasi WhatsApp dan Telegram serta elakkan daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian," kata Amiruddin.

Beliau turut menasihatkan pengguna Internet melakukan ‘backup’ berkala terhadap data dan maklumat kritikal bagi mengehadkan kesan kehilangan data atau sistem serta membantu mempercepatkan proses pemulihan.

Sebarang insiden keselamatan siber yang kritikal, pengguna Internet boleh membuat laporan melalui Pusat Bantuan Cyber999 antaranya melalui e-mel di cyber999@cybersecurity.my atau di talian 1-300-88-2999 atau muat turun aplikasi Cyber999 di Google Play atau IOS. - Bernama

Artikel Berkaitan: