'Laporan tidak benar, berniat jahat'

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Laporan sebuah portal bertajuk 'Mat Hasan Dalang Mahu Singkir Zahid, Najib' tidak benar dan berniat jahat, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Laporan tersebut memetik sebuah akhbar kononnya Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan dirinya sedang melobi pindaan perlembagaan UMNO yang bertujuan menyingkirkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Menurutnya, secara khusus, laporan tersebut mendakwa bahawa niat tersebut dilakukan melalui cadangan pindaan Fasal 9.9 kepada Perlembagaan UMNO.

"Saya ingin menegaskan bahawa laporan sedemikian adalah tidak benar dan fitnah sama sekali.

"Ini kerana, tidak ada cadangan pindaan Fasal 9.9 seperti yang didakwa tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, beliau tidak pasti dari mana portal tersebut mendapat maklumat sedemikian dan portal berita terbabit dituntut membuat kenyataan serta penjelasan.

"Portal tersebut sepatutnya menghubungi saya terlebih dahulu untuk mendapatkan kepastian. Ini adalah perkara paling mudah untuk dilakukan.

"Malangnya berita dan laporan tersebut dikeluarkan tanpa mendapat makluman dan ulasan daripada saya yang dipetik dalam laporan tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, berdasarkan keadaan tersebut, beliau percaya bahawa laporan tersebut bukan sahaja tidak benar, berunsur fitnah dan mengelirukan.

"Tetapi sangat tidak bertanggungjawab malah berniat jahat.

"Tidak mustahil portal berkenaan seolah-olah cuba menjadi media yang tidak neutral dan dipandu oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan tersendiri," katanya.

Mohamed Khaled menuntut agar laporan tersebut diturunkan serta merta kerana ia adalah satu amalan yang sangat tidak beretika.

"Portal ini tidak seharusnya menjadi dalang dalam menyemai kekeliruan dalam masyarakat," katanya.