Hujah yang sengaja dicampur-aduk

A
A

MENJELANG hari kemenangan umat Islam 1 Syawal tahun ini, kita dikejutkan dengan kenyataan kontroversi terkini seorang selebriti media sosial. Dalam satu coretan beliau di laman Facebook, selebriti tersebut memperagakan gambar beliau sekeluarga melancong di Tel Aviv, ibu negara Israel.

Beliau kemudiannya mempromosikan perkhidmatan syarikat pelancongan beliau untuk membawa pelancong dari Malaysia yang berminat untuk masuk sehingga ke jantung Israel (Kibbutz) dan berziarah sehingga ke Hebron, Batlehem, Jaffa, Jerrico dan banyak lagi selama tujuh hari.

Terdapat lima kesalahan yang telah dilakukan oleh selebriti tersebut. Pertama, beliau cuba menjustifikasikan tindakan melancong ke Tel Aviv dan mempromosikan pelancongan ke ‘Kibbutz, Hebron, Batlehem, Jaffa, Jerrico dan banyak lagi’ yang dijajah Israel dengan justifikasi melawat Masjid al-Aqsa.Tindakan ini adalah salah sama sekali.

Seperti mana kenyataan Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkfli al-Bakri melalui 'Bayan Linnas Siri Ke-15: Hukum Menziarahi Baitul Maqdis dan Masjidil Aqsa Pada Masa Kini' pada Mac 2015: 'Pergi ke sana semata-mata untuk solat di Masjidil Aqsa seperti mana yang dinaskan dalam hadis bukan di tempat yang lain' dan 'Bukan ziarah untuk melancong ke tempat-tempat yang lain'.

Jelas bahawa perbuatan pergi melawat dan solat di Masjidil Aqsa itu tidak salah, yang salah adalah apabila selebriti tersebut sengaja mencampur-aduk hujah yang membenarkan melawat Masjidil Aqsa dengan hujah melancong ke tempat-tempat lain di Israel yang hakikatnya dijajah Zionis.

Kedua, kenyataan selebriti tersebut tentang rule of absence adalah terlalu simplistik dan menyeleweng. Pertama ialah dari segi pentafsiran sejarah yang silap dalam kenyataan berikut: 'Bagaimana Tel Aviv menjadi Israel? Mereka gunakan rule of absence. Bermakna, jika tiada orang di tanah itu untuk satu jangka masa, mereka boleh claim tanah itu'.

Kedua, kenyataan berikut: 'Rule of Absense ini juga menjelaskan mengapa kebakaran sekecil-kecil kebakaran di al-Aqsa semasa saya di sana dilapor seperti sangat besar dan tidak stabil dalam media antarabangsa sedangkan saya sendiri berada di tempat kebakaran itu dan terasa 'just a small thing'.

Kenyataan selebriti itu bukan sahaja menunjukkan bahawa beliau tidak memahami implementasi rule of absence Israel bahkan juga tidak menguasai sejarah tragedi penjajahan Zionis ke atas Palestin sejak 1948.

Malah, beliau cuba memperkecilkan pula penjajahan dan pembunuhan Zionis ke atas umat Islam Palestin dengan menggunakan contoh terpencil peristiwa ‘kebakaran yang diperbesar-besarkan’.

Inilah kesalahan ketiga beliau iaitu menggunakan hujah falasi hasty generalization atau overgeneralization fallacy. Hanya kerana satu contoh kecil, habis keseluruhan penindasan Zionis ke atas umat Islam cuba diremehkan.

Tiada salah untuk cuba mempromosikan perkhidmatan syarikat beliau untuk membawa pelancong Malaysia menziarahi Masjidil Aqsa tetapi tidak perlu hingga ke tahap meremehkan serta memperkecilkan penindasan Zionis.

Kesilapan keempat beliau ialah apabila sekali lagi menggunakan hujah berfalasi hasty generalization apabila menyatakan bahawa ‘orang Israel hampir semua mahukan keamanan’ dan cuba memperkecilkan hakikat majoriti warga Israel adalah penyokong tegar Zionis yang kini memberi undi jelas kepada kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu.

Seluruh warga Zionis hari ini sedar bahawa seluruh negara Israel itu ialah hakikatnya tanah jajahan dan mereka tidak berhak walau satu inci pun untuk berada di sana.

Orang Yahudi yang benar-benar cintakan keamanan tidak akan menjadikan Israel sebagai tempat tinggal mereka, sebaliknya mereka lebih rela tinggal di negara-negara lain.

Kesilapan kelima selebriti itu ialah kejahilan beliau dalam memahami realiti geopolitik.

Jika beliau tahu apa itu Zionis dan Zionisme, bagaimana lobi Zionis di UK berjaya merampas tanah Palestin, bagaimana lobi Zionis di Amerika Syarikat berjaya mendapatkan pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara haram Israel dan membekalkan berbilion Dolar persenjataan kepada mereka, bagaimana lobi Zionis di PBB berjaya mendiamkan mulut masyarakat antarabangsa di saat mereka menyembelih umat Islam Palestin, tentulah beliau tidak akan tergamak untuk mensucikan Zionis Israel sebegini rupa.

Semoga beliau segera bertaubat dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam.

* Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.