Polis beri amaran kepada peniaga bazar Ramadan jual mercun

Hasanuddin (kanan) dan Abdul Rahim menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dari keluarga polis.
Hasanuddin (kanan) dan Abdul Rahim menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dari keluarga polis.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan memberi amaran keras kepada peniaga di bazar Ramadan di seluruh negeri ini supaya tidak mengambil kesempatan mengaut keuntungan melalui penjualan mercun.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya mengesan kes peniaga yang berani menjual bahan letupan terbabit kepada pengunjung bazar tanpa mengambil kira risiko bahaya bermain mercun.

“Ramadan memberi pulangan rezeki berlipat kali ganda kepada peniaga tetapi bukan dengan menjual mercun.

“Penjualan dan bermain mercun buleh mengundang musibah seperti kecederaan putus tangan, cacat anggota badan dan menyebabkan trauma kepada mangsa.

“Jadi jangan jual mercun dan jangan bermain mercun lebih-lebih lagi Aidilfitri bakal menjelang kurang seminggu dari sekarang,” katanya selepas Majlis Iftar peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini semalam.

Majlis turut meraikan anak-anak yatim dari keluarga polis dan menyampaikan sumbangan. Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud.

Beliau berkata, polis tidak pernah mengeluarkan lesen mercun dan bunga api kepada mana-mana peniaga atau orang ramai.

“Pihak berkuasa akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa untuk membendung penjualan bahan terlarang ini.

Artikel Berkaitan:

“Begitu juga dengan penyeludupan mercun dan bunga api akan dikawal oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand,” katanya.

Katanya, setakat 23 Ramadan semalam, pihaknya membuat tangkapan seramai 18 orang membabitkan penjual mercun dan bunga api di kedai serta bazar Ramadan.

“Tangkapan membabitkan 14 lelaki dan empat wanita dibuat bermula 6 Mei sehingga semalam.

“Polis tidak akan berkompromi dengan penjual mercun dan bunga api kerana ia memberi kesan yang buruk kepada pembeli. Setakat ini, sudah ada beberapa kes kecederaan yang membabitkan permainan mercun termasuk cacat kekal," katanya.