Sindiket judi online di banglo 3 tingkat dibongkar

Antara warga China dipercayai terlibat dalam sindiket judi online yang ditahan dalam serbuan di sebuah banglo di Taman Len Sen, Kuala Lumpur, kelmarin.
Antara warga China dipercayai terlibat dalam sindiket judi online yang ditahan dalam serbuan di sebuah banglo di Taman Len Sen, Kuala Lumpur, kelmarin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket judi dalam talian warga China yang menjadikan sebuah banglo tiga tingkat di kawasan perumahan mewah dekat Taman Len Sen, Cheras, di sini, berjaya dihidu pihak berkuasa.

Sindiket berkenaan dikesan beroperasi sebagai ‘calling center’ sejak dua hari lalu.

Pembongkaran kegiatan haram itu dibuat sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras kira-kira jam 11.30 malam, kelmarin.

Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Rohazah Alwi berkata, seramai 16 warga China termasuk dua wanita berusia lingkungan 22 sehingga 48 tahun berjaya ditahan.

Menurutnya, pelbagai barang rampasan bernilai RM30,000 disyaki digunakan dalam kegiatan tersebut dirampas seperti dua buah set komputer dan 19 buah unit telefon bimbit.

"Siasatan mendapati kesemua warga China yang ditahan ini mengaku menjalankan aktiviti pertaruhan dan promosi judi online dengan menggunakan aplikasi Wechat.

Sebuah banglo tiga tingkat di Taman Len Sen, Kuala Lumpur yang dipercayai dijadikan markas sindiket judi online membabitkan warga China diserbu kelmarin.
Sebuah banglo tiga tingkat di Taman Len Sen, Kuala Lumpur yang dipercayai dijadikan markas sindiket judi online membabitkan warga China diserbu kelmarin.

"Sindiket pertaruhan judi ini dipercayai memperdayakan pemain (target) bahawa permainan ini senang dimainkan dan peluang untuk menang adalah tinggi dengan menghantarkan QR Code Wechat kepada pelanggan di negara China untuk mencuba nasib," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas taktik sindiket terbabit, Rohazah menjelaskan, sindiket menjadikan tingkat dua dan tiga banglo terbabit untuk tujuan transaksi perjudian yang dipercayai di negara China sahaja, tiada pelanggan dari negara Malaysia dikesan.

Tambahnya, transaksi wang pertaruhan adalah melalui aplikasi WeChat pemain sendiri.

"Soal siasat juga mendapati, suspek terbabit diupah dengan bayaran RM3,000 sebulan dengan bekerja bermula jam 12 tengah hari sehingga tengah malam setiap hari. Kita percaya segala urusan suspek di kediaman terbabit diuruskan seorang lelaki yang masih giat dikesan," katanya.

Tegasnya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Pertaruhan 1953.