Tabah jaga 11 anak, suami sakit

Fauzi (tengah) menerima kunjungan Kemudi, Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kelantan, RGH dan KCTV semalam.
Fauzi (tengah) menerima kunjungan Kemudi, Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kelantan, RGH dan KCTV semalam.
A
A
A

PASIR PUTEH - Suri rumah di Kampung Tebing Tinggi cekal menempuh dugaan selepas suaminya menghidap penyakit kronik dan tidak mampu bekerja.

Zaleha Hassan, 47, berkata, suaminya, Fauzi Mat Hussin, 50, yang disahkan menghidap penyakit buah pinggang berulang alik ke klinik selama dua tahun untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, sebahagian daripada 11 anaknya diajar berdikari kerana keluarganya tidak lagi mempunyai pendapatan.

"Sebelum ini suami saya berniaga di Pasar Besar Pasir Puteh tetapi sejak dua tahun ini, dia terpaksa meninggalkan pekerjaan kerana perlu mencuci buah pinggang.

"Sekarang saya perlu mencari pendapatan, mujurlah anak-anak yang sudah dewasa dapat membantu meringankan beban dengan berniaga air di hadapan rumah," katanya.

Keluarga berkenaan mendapat perhatian dalam Program Kita Kongsi di daerah ini yang digerakkan Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) semalam.

Turut hadir Presiden Kemudi, Azran Fitri Abdul Rahim, Setiausaha Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kelantan merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri Kelantan, Muhammad Imran Mansor, Ketua Pegawai Eksekutif Royal Guest House (RGH), Raja Rusmin Raja Mahmud dan Pengarah Operasi Kelantan Creative TV (KCTV), Norazwatul Akmal Kasmuri.

Zaleha berkata, sebelum ini dia pernah berkerja membantu peniaga pasar malam tetapi tidak boleh meneruskannya kerana anak-anak masih kecil.

Artikel Berkaitan:

"Kadang-kadang saya menangis kerana dugaan terlalu berat untuk saya tapi saya mesti melawan, saya mesti kuat," katanya.

Anaknya, Fatin Farhana, 23, Fatin Farhani, 21, Fatin Wirda Raihan, 18, bergilir-gilir meniaga air, manakala Mohd Shukri, 16, masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)Tok Janggut, Fatin Nur Bahiyah, 15, di SMK Kamil, Fatin Sufiyah, 13, berada di SMK Tok Janggut, Mohd Amir Adli, 11, di Sekolah Kebangsaan (SK) Laki-laki Pasir Puteh, Fatin Nur Hidayah, di SK Perempuan Pasir Puteh, juga anak kembarnya, Fatin Nur Aisyah, 7 dan Fatin Nur Fatimah, di SK Perempuan Pasir Puteh.

Dua lagi keluarga yang dilawati, ibu tunggal, Nik Asma Nik Pa, 40, yang kematian suami, Roslan Rashid sejak empat tahun lalu kini terpaksa menyara tujuh anaknya yang masih belajar.

Satu lagi keluarga yang terpilih adalah Amran Yusof, 53, juga dari Kampung Tebing Tinggi.

Amran yang menghidap strok dibantu isteri, Zarina Yasin, 48, dalam menjaga sembilan anak berusia lima hingga 28 tahun.