Mauritius harap Malaysia buka pejabat suruhanjaya tinggi di Port Loius

 Issop Patel
Issop Patel
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mauritius berharap kerajaan Malaysia yang baharu mempertimbangkan untuk mewujudkan pejabat suruhanjaya tinggi di negara republik kepulauan lautan hindi itu, kata Pesuruhjaya Tingginya ke Malaysia, Issop Patel.

Issop berkata sudah tiba masa untuk Kuala Lumpur mewujudkan kedutaan di Port Loius bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang telah terjalin sejak 1987, terutamanya dalam ekonomi, perdagangan, kebudayaan dan hubungan rakyat dengan rakyat.

"Hubungan dua hala kini sangat baik. Harapan kami Malaysia akan menjadikan Mauritius sebagai pintu masuk ke benua Afrika," katanya dalam temubual dengan Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama sempena setahun pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Beliau turut berharap Malaysia menyokong usaha Mauritius yang membida untuk menjadi pemerhati bagi kelompok ASEAN.

Dihuni seramai 1.27 juta penduduk, Mauritius mencapai kemerdekaan dari Britain pada 1968, sejak itu ia dikenali sebagai sebuah negara demokrasi paling stabil di Afrika, di samping menjadi pusat kewangan antarabangsa terkenal dengan sektor pelancongan dan eksport gula serta tekstil merupakan tulang belakang ekonominya.

Mauritius bersama Malaysia juga merupakan anggota Persatuan Negara-Negara Pesisir Lautan Hindi (IORA), sebuah organisasi antara kerajaan, bertujuan mengukuhkan kerjasama serantau dan pembangunan mampan di rantau Lautan Hindi, melalui 22 negara anggota dan sembilan rakan dialog.

Di samping itu, Mauritius dan Malaysia juga adalah anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

Bercakap mengenai pandangannya terhadap kerajaan baharu, Issop berkata: "Dasar diketengahkan kerajaan baharu memberi kesan positif terhadap penubuhan Dewan Perdagangan Asia-Mauritius yang akan dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Di peringkat antarabangsa pula ujarnya, Mauritius menghargai sokongan Malaysia dalam resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai nasib Kepulauan Chagos, sebuah gugusan terdiri 60 pulau.

Februari lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menolak tuntutan Britain ke atas Kepulauan Chagos, dengan mengatakan pengasingan kepulauan itu dari Mauritius pada 1965 adalah tidak sah.

Pada Jun 2017 sebanyak 15 negara mengundi menentang resolusi itu manakala 65 lagi berkecuali.

Malaysia adalah antara 94 negara yang menyokong resolusi berkenaan. - Bernama