'Bau macam najis kering'

Chen Choo (dua, kiri) ketika mengadakan lawatan kerja, kelmarin bersama sebahagian penduduk yang menunjukkan kilang sawit di belakang mereka yang menghadapi pencemaran bau.
Chen Choo (dua, kiri) ketika mengadakan lawatan kerja, kelmarin bersama sebahagian penduduk yang menunjukkan kilang sawit di belakang mereka yang menghadapi pencemaran bau.
A
A
A

SEGAMAT - Lebih 2,000 penduduk di Kebun Baharu, Jementah di sini terpaksa berhadapan bau busuk yang didakwa berpunca dari sebuah kilang sawit yang tidak mematuhi arahan pemasangan biogas plant.

Seorang wakil penduduk yang enggan dikenali berkata, kilang itu telah beroperasi sejak penghujung 2016 dan masalah tersebut terpaksa dilalui mereka sehingga ke hari ini.

Menurutnya, lokasi kilang yang berdekatan dengan taman perumahan memburukkan lagi keadaan.

“Baunya macam bau najis kering, makin lama makin kuat baunya. Bayangkan pekan Jementah yang berada kira-kira dua kilometer dari lokasi kilang ini turut terkesan.

“Dulu, bau busuk ini masih lagi terkawal, tapi sejak hampir sebulan kebelakangan ini, ia makin teruk,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Penduduk berusia 51 tahun itu juga mendakwa, pelbagai tindakan pernah dibuat termasuk mengadakan sesi dialog dengan pengusaha kilang selain ribuan penduduk menandatangani petisyen bantahan operasi kilang, namun masalah itu tetap berlaku.

“Bila penduduk buat aduan, pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan turun mengadakan operasi.

“Saya difahamkan pemilik kilang dah berapa kali disaman selain diberikan syarat sesuai untuk menyelesaikan masalah ini, namun masih gagal. Cuma bila operasi daripada badan berkaitan diadakan, bau akan kurang dan terkawal sedikit. Cuma penduduk di Kampung Parit Jakas sahaja terpaksa hidu, tapi ia tak bawa jauh ke pekan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Operasi kilang dihentikan jika langgar syarat

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Negeri, Tan Chen Choon berkata, meskipun arahan pemasangan biogas plant itu telah dikeluarkan sejak Disember 2018, namun ia masih belum disiapkan walaupun tempoh lanjutan diberikan sebelum ini.

“Masih terdapat aduan daripada penduduk berkenaan bau kacau ganggu yang amat busuk di kawasan Jementah.

“Berdasarkan maklumat waktu kacau ganggu yang dicatat ialah pada awal pagi atau waktu malam,” katanya.

Terdahulu, beliau yang juga ADUN Jementah telah mengadakan lawatan ke kilang berkenaan bagi meninjau status pemasangan biogas plant.

Katanya, sehingga ke hari ini, tahap pemasangan peralatan itu hanya mencapai 80 peratus.

“Saya dimaklumkan bahawa pemasangan biogas plant merupakan salah satu syarat ditetapkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) ke atas kilang itu bagi menyelesaikan masalah dan impak bau busuk ini.

“Sebelum ini, MESTECC telah menetapkan bahawa pemasangan itu perlu siap pada Disember 2018. Namun, tempoh berkenaan telah dilanjutkan sehingga Mei ini oleh pihak kilang dengan persetujuan daripada JAS Johor. Malangnya, pihak kilang sehingga hari ini masih gagal menyiapkan kerja pemasangan itu,” katanya.

Justeru, beliau telah memanjangkan perkara itu kepada MESTECC, JAS Johor dan JAS Cawangan Muar serta Majlis Daerah Tangkak (MDT) bagi makluman dan tindakan lanjut.

“Saya turut beri cadangan kepada Pengarah JAS di kementerian supaya lesen kebenaran operasi kilang ini ditarik balik buat sementara atau memberhentikan operasinya dengan kadar segera sehingga pemasangan biogas plant itu siap sepenuhnya.

“Pada masa sama, agensi di negeri dan daerah yang dinyatakan tadi perlu membuat kerja pemantauan dari semasa ke semasa. Tindakan penguatkuasaan perlu diambil dengan kadar segera sekiranya kilang itu melanggar syarat-syarat yang ditetapkan atau melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling (Akta 127),” tegasnya.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kilang yang melakukan kacau ganggu atau pencemaran terhadap alam sekitar dan penduduk setempat.

Tambahnya, segala kegiatan atau perbuatan yang tidak bertanggungjawab seperti ini perlu dihentikan segera dan tindakan penguatkuasa perlu diambil serta-merta.