Polis Marin terima 5 lagi Amphibian Humdinga

Lima lagi Amphibian Humdinga diterima Pasukan Polis Marin.
Lima lagi Amphibian Humdinga diterima Pasukan Polis Marin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin (PPM) menerima lima lagi Amphibian Humdinga bagi mengoptimumkan operasi kawalan dan keselamatan di kawasan darat dan perairan negara.

Kesemua unit kenderaan tersebut diterima daripada pihak Aero Art kepada Komander PPM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat di PPM Wilayah 2, Tampoi semalam.

Hadir menyaksikan majlis menandatangani sijil penerimaan dan penyerahan Amphibian Humdinga itu adalah Timbalan Pengarah 1 Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) Bukit Aman, Datuk Sahabudin Abd Manan.

Sahabudin berkata, sebelum ini, PPM sudah menerima sebuah Amphibian Hundinga iaitu unit pertama (PS 5) pada bulan Mac 2017 dan lima buah lagi diterima semalam.

“Ini adalah tambahan (pelengkap) kepada aset marin yang sedia ada. Istimewanya, kenderaan ini kenderaan boleh di laut dan juga di darat.

“Setelah kita selesai membuat pemeriksaan, kita berpuas hati dan bersetuju untuk menerima kelima-lima unit lagi Amphibia ini,” katanya pada sidang media semalam.

Sahabudin berkata, kesemua enam unit Amphibian Humdinga ditempatkan di Markas PPM Wilayah 2 Tampoi; Markas Operasi PPM Wilayah 2 Pengerang; Markas Operasi PPM Wilayah 3 Kuantan (Pahang); Markas Operasi PPM Wilayah 3 Pengkalan Kubor (Kelantan); Markas Operasi PPM Wilayah 1 Batu Uban (Pulau Pinang) serta Markas Operasi PPM Wilayah 1 Kampung Acheh (Perak).

Ditanya mengenai pengoperasian PPM dengan adanya Amphibian Humdinga, katanya, untuk operasi biasa PPM mempunyai bot manakala aset baharu itu dikhaskan untuk situasi seperti banjir yang memerlukan pergerakan di darat dan air.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau memaklumkan nilai keseluruhan enam unit Amphibian Hundinga tersebut adalah RM29.5 juta.