PM minta Syazlin terus jadi peguam keluarga Adib

Dr Mahathir bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini hari ini.
Dr Mahathir bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini hari ini.
A
A
A

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan peguam Syazlin Mansor supaya terus kekal mewakili keluarga anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim bagi mencari kebenaran.

Katanya, kenyataan Peguam Negara, Tommy Thomas yang memberikan empat sebab Syazlin diarah menarik diri telah menjelaskan Syazlin yang dilantik menjadi peguambela bagi keluarga Adib tidak sepatutnya menjadi peguam bagi pihak kerajaan pada masa yang sama,

“Peguam Negara sudah keluarkan kenyataan tentang apa yang berlaku, Syazlin ialah peguam yang mewakili keluarga Adib lepas itu dia juga jadi peguam kerajaan... mana boleh begitu. Sebab kerajaan nak tentukan sebab-sebab Adib meninggal, tapi Syazlin jadi peguam keluarga Adib yang juga merangkap peguam kerajaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Peguam Negara beri empat sebab Syazlin diarah tarik diri

“Kerana pihak yang pilih itu tak sedar dia (Syazlin) sudah jadi peguam keluarga Adib, jadi apabila diketahui Syazlin mesti tarik diri daripada menjadi wakil kerajaan saja dan patut teruskan jadi peguam wakili keluarga Adib.

“Tapi Syazlin tarik diri daripada mewakili semua sama ada keluarga Adib dan juga kerajaan sedangkan dia tegaskan ingin cari kebenaran. Kebenaran boleh dapat dalam mahkmamah kita, kerana sekarang ini Perdana Menteri tak berkuasa lagi atas mahkamah, kalau tak percaya pada mahkamah... nak percaya pada siapa untuk buat keputusan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, tidak relevan sekiranya orang ramai mendesak Tommy melepaskan jawatan, sedangkan arahan yang dibuatnya supaya Syazlin menarik diri hanya sebagai wakil kerajaan kerana wujud percanggahan sekiranya Syazlin terus mewakili kerajaan dan wakil keluarga Adib.

“Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin tidak tahu bahawa Syazlin juga peguam yang mewakili keluarga Adib.

Artikel Berkaitan:

“Jadi kamu (wartawan) nak saya pecat Zuraida juga?," soal Perdana Menteri.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyifatkan peranan Syazlin tidak diperlukan lagi dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib.

Kata Zuraida, ini kerana Peguam Negara sudah bertindak mewakili kerajaan termasuk kementeriannya serta JBPM.

Syazlin mengumumkan menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba itu di hadapan Hakim Rofiah Mohamad, yang bersidang sebagai Koroner, ketika prosiding hari ke-37 di Mahkamah Koroner di Shah Alam, semalam.

Penarikan diri beliau mencetuskan pelbagai spekulasi dan persoalan mengenai kedudukan inkues berkenaan dalam memberi keadilan kepada Allahyarham Muhammad Adib.

ARTIKEL BERKAITAN: Inkues Adib: KPKT sahkan terima surat Peguam Negara

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara (IJN).