Polis miliki senarai tekong laut, darat

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador (kanan) menyerahkan bungkusan kuih raya kepada timbalannya Datuk Mazlan Mansor pada Majlis Penyerahan Bungkusan Kuih Raya Polis Diraja Malaysia sempena Hari Raya Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador (kanan) menyerahkan bungkusan kuih raya kepada timbalannya Datuk Mazlan Mansor pada Majlis Penyerahan Bungkusan Kuih Raya Polis Diraja Malaysia sempena Hari Raya Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai senarai tekong laut dan darat yang mendalangi aktiviti penyeludupan masuk serta keluar pendatang tanpa izin di negara ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, polis telah mengenal pasti identiti tekong yang dikesan aktif menjalankan kegiatan penyeludupan pendatang tanpa izin di beberapa negeri.

“Saya telah mendapat jaminan daripada beberapa Ketua Polis Negeri yang mereka bersedia dengan senarai tekong berkenaan untuk diambil tindakan.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh mendedahkan siapa atau tindakan bakal diambil tetapi saya beri jaminan yang ia sangat efektif,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan bungkusan kuih raya PDRM sempena Hari Raya Aidilfitri di Bukit Aman, di sini hari ini.

Abdul Hamid berkata selain kawasan sempadan perairan dan darat yang panjang dan luas, kelicikan tekong terbabit sering dilihat bergerak daripada satu tempat ke tempat lain untuk menyulitkan tindakan penguatkuasaan.

Abdul Hamid berkata, bagi mengatasi masalah itu, pihaknya menggandakan jumlah rondaan dengan menjalinkan kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk penguatkuasaan di perairan.

“Bagi penguatkuasaan di sempadan dan pintu masuk negara, kami bekerjasama dengan Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen bagi memastikan kegiatan penyeludupan pendatang tanpa izin ini dapat dikawal sepenuhnya,” kata beliau.

Beliau berkata, menjelang musim perayaan ini, PDRM turut meningkatkan jumlah anggotanya yang bertugas untuk menjaga kawalan sempadan negara, di jalan raya serta perairan negara khususnya di pantai timur Sabah melibatkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan polis marin.

Artikel Berkaitan:

“Dalam hal ini, 90 peratus pegawai dan anggota polis seluruh negara akan bertugas pada Hari Raya Aidilfitri ini manakala 10 peratus lagi akan bercuti,” katanya.

Abdul Hamid berkata, mereka yang bertugas akan bergilir untuk bercuti ketika musim perayaan dan polis akan mempertingkatkan tahap keselamatan serta ketenteraman awam di negara ini.

“Saya mengarahkan setiap Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah agar mengarahkan anggota di bawah selian masing-masing membuat rondaan di taman-taman perumahan bagi mengelak kes jenayah,” katanya. - Bernama