Johor, Perak dan Selangor catat kematian tertinggi jalan raya

 Dr Siti Zaharah Ishak
Dr Siti Zaharah Ishak
A
A
A

SEREMBAN - Negeri Johor, Perak dan Selangor mencatatkan rekod kematian akibat kemalangan jalan raya paling tinggi dalam tempoh 2015-2017.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Dr Siti Zaharah Ishak berkata, daripada daerah-daerah yang terdapat di tiga negeri berkenaan, Batu Pahat mencatatkan jumlah kematian paling tinggi, iaitu (554) kes.

"Selain Batu Pahat, diikuti Johor Bahru Selatan (315) dan Kluang (296). Secara keseluruhan bagi tiga daerah di Johor iaitu 1,165 kes.

"Ia diikuti negeri Perak yang mencatatkan bilangan kematian tertinggi adalah Ipoh (402), diikuti dengan Manjong (261) dan daerah Hilir Perak (232) yang keseluruhan 895 kes.

"Bagi negeri Selangor, jumlah kematian tertinggi adalah di daerah Kajang (347), diikuti Klang Selatan (270) dan Kuala Selangor (260) yang keseluruhan 877 kes," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir majlis '21st Yamaha Balik Kampung Road Safety Campaign' di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Selain itu katanya, Jalan Persekutuan merupakan jalan paling banyak berlaku kemalangan, manakala keadaan jalan lurus dan besar jadi penyumbang terbesar.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana beliau berkata, keadaan jalan sebegitu mendorong pemandu membawa lebih laju.

"Trend penggunaan telefon bimbit untuk menjawab WhatsApp, melihat Facebook dan berswafoto ketika memandu juga menjadi punca kemalangan.

"Walaupun hanya lalai satu saat pun, ia boleh jadi penyumbang kepada kemalangan yang boleh meragut nyawa,"katanya.

Selain itu beliau juga mengingatkan orang ramai bahawa penggunaan tilam di tempat duduk belakang adalah dilarang dan jadi kesalahan.

Katanya, walaupun ramai yang mengatakan ia dapat beri lebih keselesaan khusus kepada anak-anak, tetapi merbahaya.

"Saya tengok ia sudah jadi trend sekarang. Jika ia dikesan, pihak berkuasa boleh kenakan tindakan atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar.