Sentiasa bersyukur keamanan dikecapi

Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali melihat sebahagian barangan sumbangan Hari Raya yang akan diserahkan kepada anggota angkatan tentera yang bertugas pada Aidilfitri pada majlis penyampaian sumbangan tersebut di Wisma Pertahanan hari ini. Foto: Bernama
Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali melihat sebahagian barangan sumbangan Hari Raya yang akan diserahkan kepada anggota angkatan tentera yang bertugas pada Aidilfitri pada majlis penyampaian sumbangan tersebut di Wisma Pertahanan hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali hari ini meminta rakyat Malaysia untuk sentiasa bersyukur dengan keamanan yang dikecapi dan mendoakan kesejahteraan pasukan keselamatan yang berkorban tanpa mengira masa.

Berkongsi kenangan ketika melawat pasukan keselamatan negara yang bertugas di Konjic, di Bosnia suatu ketika dahulu, Dr Siti Hasmah berkata, wira-wira negara yang bertugas di luar negara menjalankan tanggungjawab dengan penuh taat setia dan sering dipuji kerana profesionalisme mereka.

“Saya dan suami (Tun Dr Mahathir Mohamad) pernah melawat seketika pasukan keselamatan kita di Bosnia... ketika itu negara berkenaan sedang berperang.

“Kami cukup bangga melihat perajurit-perajurit negara yang berada di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menjalankan tugas mereka yang sangat profesional dan pasukan keselamatan negara kita terkenal sebab mereka pandai bina hospital lengkap dengan doktor-doktor pakar,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri di Wisma Pertahanan di sini.

Dr Siti Hasmah yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturrahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia) berkata demikian ketika berucap pada majlis itu.

Pada majlis itu, Dr Siti Hasmah turut mengambil kesempatan mengingatkan masyarakat agar menjaga kelestrian hutan rimba negara termasuk haiwan di dalamnya. “Hutan rimba kita ni bukan sahaja ada manusia di dalamnya tetapi juga haiwan... saya gunakan kesempatan ini untuk mempromosi harimau Malaya sebab kalau kita tak berjaga-jaga, ia akan pupus dan tinggal je la gambar di baju pemain bola sepak kita,” katanya.

Sejumlah 53 agensi menyerahkan sumbangan berbentuk kewangan dan barangan berjumlah RM1.45 juta kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sempena sambutan Aidilfitri.

Sumbangan disampaikan kepada Menteri Pertahanan Mohamad Sabu. Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis itu, ATM menerima sumbangan zakat daripada badan korporat iaitu Affin Islamic Bank Berhad (RM500,000), Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (RM350,000) dan Affin Hwang Investment Bank Berhad (RM300,000).

Affin Hwang Investment Bank Berhad turut menyumbangkan zakat sebanyak RM300,000 kepada Yayasan Veteran ATM.

Badan Kebajikan Amal Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) ATM turut membantu menyumbangkan tenaga kerja bagi menyediakan 15,000 bungkusan beg raya yang akan diagih kepada anggota yang bertugas di dalam dan luar negara, serta anggota ATM yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri. - Bernama