Pemuda UMNO kecam tindakan YB anjur majlis berbuka puasa di kuil

Tular keratan berhubung jemputan Majlis Iftar Muhibbah Bersama Parlimen Johor Bahru di Gurdwara Sahib. (Gambar kecil: Mohd Hairi)
Tular keratan berhubung jemputan Majlis Iftar Muhibbah Bersama Parlimen Johor Bahru di Gurdwara Sahib. (Gambar kecil: Mohd Hairi)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru mengecam penganjuran Majlis Iftar Muhibbah Bersama Parlimen Johor Bahru yang dianjurkan di Gurdwara Sahib, di sini hari ini.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, pihaknya juga mengecam tindakan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang disifatkan tidak peka terhadap sensitiviti umat Islam.

"Kita sebagai bangsa Johor tidak lari dari bersikap toleransi dengan kemajmukan masyarakat Malaysia yang pelbagai.

"Pemuda UMNO memahami hasrat YB Akmal untuk memupuk perpaduan antara masyarakat berbilang kaum, namun tidak kena dengan caranya," katanya di sini hari ini.

Mohd Hairi yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor turut mempersoalkan kewajaran umat Islam dibawa untuk berbuka puasa di lokasi terbabit ketika Ramadan yang dianggap sebagai bulan suci dan mulia.

Katanya, banyak lagi tempat yang boleh diadakan majlis seumpama itu seperti di masjid, surau, rumah anak-anak yatim, rumah orang tua dan di pusat khidmat Parlimen Johor Bahru.

"Beliau boleh menjemput masyarakat berbilang kaum dan agama untuk berbuka puasa bersama, tiada masalah.

"Namun mengajak umat Islam berbuka puasa di rumah ibadah agama lain yang dianjurkan oleh Ahli Parlimen beragama Islam adalah amat-amat tidak kena. Apatah lagi ketika umat Islam berada pada 10 Ramadan terakhir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, usaha memperkukuhkan dan menyuburkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini, tidak wajar direalisasikan dengan perkara seperti itu.

Justeru, katanya, program tersebut dicadangkan untuk ditukar tempat penganjurannya.

"Saya berharap agar YB Akmal lebih cakna dan sensitif terhadap toleransi budaya dan agama sehingga tidak menjejaskan akidah sebagai seorang Muslim.

"Selaku Ketua Pemuda Johor Bahru, saya berharap agar Jadual yang sepatutnya berlangsung ditukarkan atau dibatalkan sahaja bagi menjaga nama baik Gurdwara Sahib, Johor Bahru," katanya.

Terdahulu tular kecaman dan perkongsian di media sosial berhubung jemputan Majlis Iftar Muhibbah Bersama Parlimen Johor Bahru di Gurdwara Sahib (kuil komuniti Sikh), Jalan Trus, di sini.