Syarikat diserbu, tawar khidmat pemutihan warga asing

Sebuah premis di Seri Kembangan,Selangor, yang dipercayai menawarkan khidmat pemutihan warga asing diserbu dalam operasi di sebuah premis di Seri Kembangan, Selangor, hari ini.
A
A

SERI KEMBANGAN - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menggempur sebuah syarikat agensi pekerjaan di kawasan perniagaan Desa Ria, di sini, yang dipercayai menawarkan khidmat pendaftaran program pemutihan warga asing.

Serbuan pada jam 10.30 pagi tadi mendapati modus operandi syarikat tersebut adalah dengan menggunakan saluran media sosial dengan menyasarkan majikan dan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk didaftarkan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kementerian Sumber Manusia dan Pasukan Petugas Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO) Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menurutnya, hasil pemeriksaan mengesyaki terdapat unsur penipuan dijalankan di premis terbabit berdasarkan penemuan sejumlah 29 naskah pasport warga asing, resit-resit pendaftaran serta iklan-iklan di premis.

Sejumlah dokumen yang disyaki mempunyai unsur penipuan dirampas dalam operasi di sebuah premis di Seri Kembangan, Selangor, hari ini.
Sejumlah dokumen yang disyaki mempunyai unsur penipuan dirampas dalam operasi di sebuah premis di Seri Kembangan, Selangor, hari ini.

"Susulan itu, Imigresen bertindak seorang warga asing yang disyaki menyalahgunakan pas bekerja di premis tersebut.

"Selain itu, dua pengarah syarikat serta seorang pegawai pemasarannya turut ditahan dan ditangkap untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius perkara ini kerana ia merupakan satu sindiket penipuan yang mana Program Rehiring telah tamat pada 30 Jun tahun lalu dan tidak disambung lagi.

Katanya, siasatan pihaknya juga percaya aktiviti ini telah berjalan sejak Februari lalu dan syarikat ini telah banyak mengaut keuntungan atas angin dengan mendaftar sejumlah besar PATI sepanjang tempoh itu.

"Syarikat terbabit ini dikesan mengenakan sejumlah bayaran deposit untuk penyertaan program pemutihan," katanya.

Sejumlah dokumen yang disyaki mempunyai unsur penipuan dirampas dalam operasi di sebuah premis di Seri Kembangan, Selangor, hari ini.
Sejumlah dokumen yang disyaki mempunyai unsur penipuan dirampas dalam operasi di sebuah premis di Seri Kembangan, Selangor, hari ini.

Tambahnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(f) Akta Imigresen 1959/63.

"Imigresen menasihatkan majikan supaya berhati-hati serta tidak mudah terpedaya dengan tawaran seperti ini. Majikan yang terlibat bukan sahaja melakukan kesalahan disisi undang-undang, malah mereka juga akan menanggung kerugian yang besar," katanya.

Tegasnya, pihaknya memberi amaran kepada mana-mana syarikat agensi pekerjaan yang terlibat dalam aktiviti penipuan seperti ini supaya menghentikannya serta-merta atau berdepan dengan tindakan tegas.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia