Kerajaan hapus RM3.8 bilion hutang untuk projek air luar bandar

Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menghapuskan pinjaman yang diberi kepada kerajaan negeri bagi projek bekalan air luar bandar pada 2001 dan ke atas, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Beliau berkata pinjaman tersebut adalah berdasarkan baki belum selesai pada 31 Disember 2018 dengan jumlah keseluruhan RM3.8 bilion, yang tertakluk kepada kerajaan negeri untuk memuktamadkan penstrukturan semula bekalan air selewat-lewatnya pada 31 Disember 2019.

Untuk akan datang, beliau berkata projek bekalan air luar bandar tidak lagi dibiayai dalam bentuk pinjaman mudah kerajaan persekutuan tetapi diperuntukkan dalam bentuk geran di bawah kawal selia Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

"Pelaksanaan hapus kira ini diharapkan dapat mempercepatkan penstrukturan semula industri bekalan air dan mengurangkan beban kewangan tahunan negeri serta memastikan faedah berterusan dapat dinikmati rakyat pada jangka masa panjang," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara di sini hari ini.

Pada masa yang sama, Dr Mahathir berkata syarikat operator negeri boleh memfokuskan kepada penambahbaikan kualiti perkhidmatan bekalan air. -Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia