Dua kilang hasilkan pencemaran udara diarah tutup

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
SEREMBAN - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri ini mengarahkan dua kilang di Kawasan Perindustrian Sungai Gadut, Senawang ditutup kerana dipercayai menghasilkan pencemaran udara.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan berkata, kilang membuat perabot dan kitar semula plastik itu dikenakan tindakan selepas siasatan yang dijalankan pada 16 April dan 3 Mei lalu mendapati mereka melakukan kesalahan.

Katanya, serbuan pertama dijalankan di kilang pembuatan perabot yang mempunyai lesen dan mengesan berlakukan kerja pembakaran serta penghasilan cecair gam.

"Aktiviti itu disyaki menjadi punca utama pelepasan bau pelarut dan kimia ke kawasan perumahan berhampiran. Justeru JAS menyita kelengkapan di premis itu mengikut Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Veerapan berkata, kilang kedua yang disiasat adalah kilang kitar semula plastik yang mempunyai lesen daripada Majlis Perbandaran Seremban (MPS).

"Kilang berkenaan mempunyai alat kawalan udara bagi semua mesin yang digunakan tetapi didapati memproses jenis plastik keras yang mengeluarkan bau kuat.

“Keupayaan sistem kawalan udara didapati tidak mencukupi, justeru, JAS mengarahkan kilang berkenaan ditutup dan kini sedang meningkatkan alat kawalan udara sedia ada," katanya.

Tambahnya, JAS kini dalam proses permohonan perintah larangan mengikut Peraturan 24, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 bagi kedua-dua kes itu.

Beliau turut menyarankan supaya industri kitar semula plastik dipantau dan pemasangan kelengkapan kawalan bersesuaian perlu direka bagi memastikan pencemaran bau dapat diatasi serta perkara sama tidak berulang.
Artikel Berkaitan: