Lumba haram cari King WCE

Anggota polis menjalankan pemeriksaan terhadap mat rempit yang ditahan.
Anggota polis menjalankan pemeriksaan terhadap mat rempit yang ditahan.
A
A
A

AYER TAWAR - Belum lagi dibuka kepada orang ramai, Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) di daerah Manjung dicemari dengan aktiviti lumba haram.

Malah aktiviti itu dikatakan sudah diadakan lebih dua bulan untuk mencari 'king' dalam kalangan mat rempit yang terlibat di Susur Ayer Tawar WCE.

Salah seorang lelaki yang ditahan polis dan yang hanya mahu dikenali sebagai John, 20, berkata, dia mengetahui mengenai aktiviti lumba haram berkenaan daripada kawan-kawannya.

"Kawan-kawan beritahu ada race (lumba haram) di lebuh raya baru setiap Ahad jam 5 hingga 7 petang dan mereka mencari king setiap kali berlumba.

"Untuk menjadi king ada tiga benda kena buat iaitu siapa paling laju, siapa pacak motor paling lama dan motor siapa diubah suai dengan hebat sekali," katanya kepada media selepas ditahan pihak polis di Balai Polis Ayer Tawar di sini hari ini.

Motor yang diubah suai mat rempit untuk berlumba merebut gelaran king.
Motor yang diubah suai mat rempit untuk berlumba merebut gelaran king.

Dalam pada itu, menurutnya dia yang bekerja di Siangpura mendakwa tidak menyertai perlumbaan itu dan hanya datang untuk menonton ketika pulang bercuti.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, seramai 283 individu melibatkan 277 motosikal ditahan dan diperiksa dalam Op Khas Samseng Jalanan Ramadan semalam.

Artikel Berkaitan:

"Aktiviti ini dikesan hasil risikan selama seminggu oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bersama Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) Manjung.

"Sebanyak 374 saman dikeluarkan serta 11 buah motosikal disita dalam operasi yang dijalankan bermula jam 3 petang semalam sehingga 12 tengah malam tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Hanif, pelbagai jenis saman dikeluarkan polis kepada mereka yang ditahan antaranya kesalahan tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, mengubahsuai kenderaan dan penunggang bawah umur.

"Kita sangat berharap ibu bapa memantau aktiviti anak-anak supaya tidak terlibat dalam kegiatan seperti lumba haram ini," katanya.