Tabika Kemas bukan 'biasa-biasa'

Ahmad Kamal Idris (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Fatimah pada Ziarah Kasih Kemas di Kampung Padang Jelapang, Chicha Tinggi.
Ahmad Kamal Idris (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Fatimah pada Ziarah Kasih Kemas di Kampung Padang Jelapang, Chicha Tinggi.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) kelolaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bukan 'biasa-biasa' apabila memperkenalkan pelbagai modul dalam usaha memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Kemas, Ahmad Kamal Idris Nawawi berkata, modul pendidikan Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STREAM) menjadi tarikan baharu sekali gus membuktikan komitmen agensi berkenaan dalam menjadi pusat pembelajaran pilihan di peringkat awal kanak-kanak.

Menurutnya, tidak cukup dengan itu, pihaknya tambah tiga lagi modul iaitu patrotik, keyakinan diri dan penghayatan Islam.

"Penghayatan Islam ini di mana, murid-murid beragama Islam akan mengikuti kelas tambahan selama satu jam merangkumi bacaan al-Quran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berkunjung ke rumah Fatimah Mat Diah pada Ziarah Kasih Kemas di Kampung Padang Jelapang, Chicha Tinggi di sini.

Turut hadir Pengarah Kemas Kelantan, Anuar Mat Zain dan rombongan serta pimpinan setempat.

Menurutnya lagi, kesemua modul itu bertujuan melahirkan generasi yang seimbang dari segi sosial dan fizikal.

Katanya, Kurikulum Pra Sekolah Kebangsaan turut menjadi teras dalam memberikan pendidikan awal kepada kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini ramai yang beranggapan kanak-kanak mengikuti pembelajaran di Kemas hanya akan dapat 3M iaitu membaca, mengira dan menulis.

"Namun kita sudah naik taraf kepada 4M iaitu membaca, mengira, menulis dan menaakul yang merupakan teras Kurikulum Pra Sekolah Kebangsaan ditambah dengan STREAM melangkapkan lagi usaha kerajaan dalam memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak.

"Bagi saya, golongan ibu bapa di luar sana tidak perlu risau dengan kredibiliti Tabika Kemas hari ini," katanya.