Perdebatan harga hartanah: Wujud sentimen harga yang negatif dalam pasaran

A
A
A
ISU yang sedang hebat diperkatakan dalam perdebatan mampu milik adalah harga hartanah yang makin tinggi sejak beberapa tahun lalu, di mana 76 peratus rakyat Malaysia menjangka kenaikan harga yang berterusan dalam tempoh enam bulan akan datang.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, ia menunjukkan kewujudan sentimen harga yang negatif dalam pasaran.

Menurutnya, tanpa menghiraukan perubahan harga, pendapatan isi rumah di Malaysia gagal meningkat untuk menggapai kos yang sepadan dan telah menyebabkan ramai yang memilih masa dan keadaan pasaran yang tidak memberangsangkan sebagai faktor dalam keputusan mereka tentang hartanah.

"Kaji selidik PropertyGuru Consumer Sentiment Survey H2 2018 yang dikendalikan oleh kami mendapati lebih separuh daripada 51 peratus responden terpaksa mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka sekurang-kurangnya sekali untuk membeli hartanah.

"67 peratus daripada rakyat Malaysia mempunyai peruntukan sebanyak RM500,000 atau kurang untuk pembelian hartanah,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, ini disokong oleh laporan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini yang mendapati bahawa 61 peratus daripada pinjaman yang diluluskan pada tahun 2018 adalah untuk hartanah bernilai kurang daripada RM500,000.

Jelasnya, secara keseluruhan bank telah mengagihkan pembiayaan perumahan sebanyak RM133 bilion kepada kira-kira 350,000 peminjam pada tahun itu.

"Memandangkan pendapatan yang tiada perubahan di negara ini, generasi muda adalah golongan yang paling hebat dilanda masalah pembiayaan hartanah. Cabaran-cabaran lain yang dihadapi oleh pembeli rumah yang mencari pembiayaan adalah kurang biasa dengan kertas kerja yang diperlukan dan sejarah kredit yang tidak memberangsangkan.

"Selain itu, sumber pendapatan yang tidak menentu dan hutang-hutang yang belum jelas yang mana telah menyumbang kepada nisbah khidmat hutang yang tinggi di negara ini, seperti pinjaman kereta, pinjaman peribadi dan hutang kad kredit yang belum dijelaskan," katanya.
Artikel Berkaitan:


Sheldon berkata, untuk menangani penolakan pinjaman, PropertyGuru telah memperkenalkan Home Loan Pre-Approval untuk meningkatkan peluang mereka mendapatkan pinjaman.

"Ia membolehkan pencari rumah mengetahui berapakah jumlah sebenar yang boleh dipinjam daripada bank, walaupun sebelum mereka membuat sebarang permohonan pinjaman.

"Setelah mereka mengetahui kelayakan jumlah pinjaman yang mana ketepatan adalah 99.9 peratus, mereka akan dipadankan dengan rumah yang telah di pra-diluluskan. Oleh itu, mereka akan mendapat akses segera terhadap kadar utama oleh rakan kongsi bank," katanya.