Dakwa doktor kasar, tak bertanggungjawab

Azmi menunjukkan kesan merah pada matanya susulan kecuaian doktor berkenaan. Gambar kanan: Laporan polis dibuat Azmi susulan kejadian itu.
Azmi menunjukkan kesan merah pada matanya susulan kecuaian doktor berkenaan. Gambar kanan: Laporan polis dibuat Azmi susulan kejadian itu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Saya tuntut permohonan maaf dari doktor tersebut," kata penceramah bebas, Azmi Md Yatim, 45, yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan seorang doktor sebuah hospital di sini.

Dalam kejadian 7.20 malam semalam, Azmi mendakwa kelalaian doktor berkenaan memasukkan ubat tahan sakit pada bahagian matanya menyebabkannya mengalami kesakitan dan matanya kemerahan.

Menurutnya, dia turut mendakwa layanan diterima doktor yang berkhidmat di hospital berkenaan itu kasar dan tidak bertanggungjawab.

"Selepas beri rawatan, dia tinggalkan saya dalam keadaan terkapai-kapai menahan kesakitan sebelum datang semula beberapa minit kemudian selepas dipanggil.

"Saya sedang sakit, emosi tak stabil. Tak salah doktor itu meminta maaf, akui tidak sengaja, bukannya bersikap ego," katanya yang berada di hospital berkenaan sejak Selasa lalu, menerima rawatan kanser kolon.

Katanya, pihaknya bertindak membuat laporan polis kepada doktor itu selain memanjangkan aduan terhadap pengurusan hospital tersebut.

"Tidak sepatutnya seorang doktor melayan pesakit seperti itu. Enggan mohon maaf malah mencabar saya mengambil tindakan.

"Hospital ini ibarat rumah kedua saya. Ini adalah kejadian pertama saya hadapi sehingga saya menjadi malu dengan pesakit-pesakit di katil bersebelahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Sinar Harian ketika menghubungi hospital tersebut memaklumkan pihaknya akan memberikan kenyataan balas berhubung aduan itu dalam masa terdekat.