'Tiada lagi peneman setia saya'

Ibrahim (kanan) tidak dapat menahan sebak ketika Farihah (kiri) menyerahkan cek faedah pengurusan mayat kepada isterinya, Esah.
Ibrahim (kanan) tidak dapat menahan sebak ketika Farihah (kiri) menyerahkan cek faedah pengurusan mayat kepada isterinya, Esah.
A
A
A

KUALA NERUS - "Dia menjadi peneman setia saya. Apabila waktu makan, dia tunggu saya untuk makan bersama dan ketika berbual, dia suka urutkan kaki saya. Selepas ini tiada lagi semua itu,".

Begitu cerita Ibrahim Hashim, 66, bapa kepada Hafiiz Mohd, 29, yang maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di KM 32, Jalan Kuala Terengganu-Setiu, berhampiran Pakoh Jaya Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira kira 9.20 pagi itu, Hafiiz dan isterinya, Siti Nur Shahila Asla, 26, menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian selepas Wira Aeroback dinaiki bertembung dengan kereta Peugeot.

Pemandu Peugeot, Anuar Said, 57, dan isterinya, Che Khasliza Che Hussin, 53, turut terkorban manakala anak perempuan pasangan itu, Nurul Nadirah, 14, yang parah dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

“Raya tahun ini juga seperti hilang seri bagi kami apabila kehilangan ahli keluarga, Hafiiz juga beriya-iya mahu menyambut hari raya di rumah dan sempat membeli baju raya buat saya dan isteri,” katanya.

Ibrahim ditemui di rumahnya di Taman Seri Kenanga di Padang Nenas di sini ketika menerima kunjungan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Terengganu, Farihah Che Husin hari ini.

Sementara itu, isterinya Esah Abas, 66, yang pastinya turut merasai kehilangan itu reda dengan ujian yang menimpa mereka ketika umat Islam bakal menyambut ketibaan Syawal tidak lama lagi.

"Setiap kali sambutan hari raya saya akan sediakan nasi dagang kerana arwah gemar makan nasi dagang. Dia juga ibarat 'penunggu' di rumah ini kerana tinggal bersama untuk menjaga kami," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Farihah pula berkata, PERKESO menyampaikan faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 dan faedah pencen bulanan berjumlah RM379 sebulan kepada ibu bapa Allahyarham.

ARTIKEL BERKAITAN: Pertemuan terakhir dengan keluarga