Sembilan anggota JPJ, SPAD didakwa esok

Sembilan penguat kuasa JPJ dan bekas anggota SPAD akan didakwa dengan 162 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth esok.
Sembilan penguat kuasa JPJ dan bekas anggota SPAD akan didakwa dengan 162 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth esok.
A
A
A

GEORGETOWN - Sembilan anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan bekas Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dituduh dengan kes rasuah akan didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth esok.

Jurucakap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, kesemua mereka akan didakwa dengan 162 pertuduhan di mahkamah berkenaan pada jam 9 pagi.

Menurutnya, mereka akan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM iaitu menerima suatu suapan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap syarikat lori yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

April lalu, lebih 70 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang dan beberapa individu lain ditahan kerana dipercayai melindungi sindiket 'lori kebal'.

Kesemua yang ditahan disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan sekitar Pulau Pinang.

Kesemua pegawai penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 32 daripada Pejabat JPJ Pulau Pinang itu dipercayai menerima bayaran berjumlah antara RM10,000 ke RM32,000 secara bulanan.

Bayaran itu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu lori terlibat selain turut membocorkan maklumat operasi JPJ.

Wang yang diterima tersebut dipercayai untuk pegawai kanan JPJ bagi tujuan hiburan.

Artikel Berkaitan: