Ketahui tahap kesihatan pekerja asing sebelum ambil bekerja

Mohd Khuzzan (dua dari kanan) sewaktu program Kembara Amal Ramadan Putra Specialist Hospital (PSH) Batu Pahat di DUN Semerah semalam.
Mohd Khuzzan (dua dari kanan) sewaktu program Kembara Amal Ramadan Putra Specialist Hospital (PSH) Batu Pahat di DUN Semerah semalam.
A
A
A

BATU PAHAT - Cadangan Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi, Aminolhuda Hassan untuk melakukan saringan kesihatan dengan lebih ketat terhadap pekerja asing di negeri ini mendapat sambutan baik.

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, beliau melihat cadangan tersebut merupakan langkah yang baik dan seharusnya majikan di negeri ini yang menggaji warga asing perlu memastikan terlebih dahulu status kesihatan pekerja mereka.

"Satu perbincangan lanjut perlu dilakukan di antara Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan agensi terlibat dan bagi saya, kerjasama perlu dilaksanakan segera bagi mengesan penyakit berjangkit pada warganegara asing sekali gus mengawal kemasukan pekerja yang mempunyai risiko penyakit tertentu.

"Baru-baru ini, walaupun penyakit monkeypox (cacar monyet) berasal dari negara di Afrika, tetapi sesiapa juga berisiko menghidapnya dan sebab itulah saringan dengan lebih ketat serta terperinci perlu dilakukan bagi mengelakkan wabak-wabak seperti ini menular di negeri ini," katanya.

Beliau yang juga ADUN Semerah berkata kepada pemberita sewaktu program Kembara Amal Ramadan Putra Specialist Hospital (PSH) Batu Pahat (Kembara Amal 2019 D’Putra) di Kampung Asam Kumbang di sini semalam.

Menurutnya, sekiranya cadangan itu dapat dilaksanakan, beliau berharap keutamaan dapat diberikan kepada mereka yang bekerja di dalam sektor perkhidmatan dan pengendalian makanan disebabkan pekerjaan mereka lebih terdedah kepada umum.

Katanya, beliau juga akan menunggu tarikh dan masa yang sesuai bagi membincangkan bersama Exco kerana cadangan untuk bekerjasama ini merupakan satu cadangan yang baik bagi mengelakkan risiko penyakit tertentu yang dibawa oleh pekerja asing di negeri ini.

"Saya juga bimbang warganegara asing yang positif penyakit tersebut seperti tibi dan malaria ini akan menyumbang kepada penyebaran penyakit tersebut kepada penduduk tempatan dan ini perlu dipandang serius.

Artikel Berkaitan:

"Tambahan pula, pekerja asing ini tinggal di tempat yang rendah tahap kebersihannya dan keadaan yang sesak, sistem sanitasi yang tidak teratur, sampah sarap serta kemudahan kesihatan yang terhad menyebabkan penularan penyakit lebih mudah berlaku," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Kerajaan Negeri Johor merancang menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengawal lambakan pekerja asing di negeri ini terutamanya mereka yang masuk secara haram dan tidak mempunyai permit pekerjaan.

Menurutnya, ini kerana jumlah pekerja asing di negeri ini juga semakin bertambah setiap tahun dan dikhuatiri akan menutup peluang rakyat tempatan untuk bekerja di dalam sektor tertentu.