Rujuk Waze atau Google Map walau dah tahu jalan

Gambar kecil: Sasikumar Sathasivam
Gambar kecil: Sasikumar Sathasivam
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai yang akan pulang ke kampung menyambut hari raya awal bulan depan dinasihatkan agar sentiasa merujuk kepada aplikasi navigasi seperti Waze ataupun Google Map sebagai salah satu persediaan awal menempuh perjalanan yang panjang.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Selangor, S Sasikumar berkata, walaupun kita tahu jalan mana yang akan dilalui untuk balik kampung namun dengan merujuk kepada aplikasi navigasi, kita boleh mendapat maklumat awal yang lebih tepat berkenaan laluan mana yang akan sesak.

“Ini termasuklah maklumat berkaitan kawasan mana yang wujud kesesakan akibat kemalangan dan sebagainya. Dalam masa yang sama navigasi ini juga boleh mencadangkan laluan alternatif yang boleh dilalui untuk ke destinasi di tuju apabila berlaku kesesakan.

“Sebelum memulakan perjalanan, boleh buka aplikasi navigasi dan lihat mana laluan yang sesak dan orang ramai juga boleh membuat perancangan mana lokasi yang akan sesuai untuk berhenti rehat dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, selain itu pengguna jalan raya juga boleh merujuk kepada Twitter Plus Malaysia Berhad (PLUS) dan syarikat konsesi lebuh raya yang lain bagi melihat jadual cadangan waktu perjalanan serta maklumat terkini keadaan kesesakan dan sebagainya.

“Begitu juga dengan laman sosial pasukan keselamatan seperti polis, bomba dan sebagainya kerana pasukan ini juga memainkan peranan dalam menyalurkan maklumat berkaitan pada musim perayaan khususnya.

"Persediaan awal ini penting kerana perjalanan di luar musim perayaan yang hanya mengambil masa empat ke lima jam boleh menjangkau kepada lapan ke sembilan jam pada musim raya kerana pertambahan kenderaan,” katanya.

Sasikumar menambah, perkara lain yang menjadi tumpuan JKJR dalam musim perayaan kali ini adalah perkara berkaitan microsleep dikalangan pemandu.

Artikel Berkaitan:

“Ini kerana semakin banyak insiden kemalangan jalan raya berlaku adalah disebabkan microsleep.

“Microsleep adalah keadaan di mana kita akan tertidur untuk beberapa saat hingga 30 saat tanpa kita sedari. Microsleep ini terjadi terutamanya sewaktu memandu dan ianya sangat membahayakan diri dan keluarga yang bersama-sama kita. Ketika memandu kita paksa diri kita dan ingatkan kita masih sedar sedangkan rupanya kita dah terlelap beberapa saat.

“Simptom-simptom microsleep adalah seperti tersengguk-sengguk, kelopak mata semakin tertutup atau kuyu,mata terkebil-kebil, merenung dalam ke arah sesuatu yang kosong dan tak boleh nak fokus serta kerap menguap.

“Jika simptom ini wujud, segera berhenti rehat ataupun tukar dengan pemandu kedua,” katanya.

Sasikumar menambah, kurang tidur dan jadual tidur yang tak menentu antara faktor yang menyumbang kepada microsleep.

“Justeru itu, sebelum memulakan pemanduan perjalanan yang jauh pastikan anda dapatkan tidur yang cukup. Jika mengantuk berhenti rehat sebentar di lokasi yang selamat atau di kawasan rehat dan rawat sepanjang perjalanan anda.

“Penumpang dalam kenderaan juga perlu memainkan peranan, berborak dengan pemandu bagi mengelakkan mengantuk terutamanya apabila memandu pada waktu siang ketika berpuasa dan jika memandu pada waktu malam boleh sediakan makanan yang boleh dimakan dengan mudah,” katanya lagi.