MOA yakin dapat tingkatkan tanaman

Salahuddin ketika ditemui media selepas Program Kasih Peladang Parlimen Pulai, hari ini.
Salahuddin ketika ditemui media selepas Program Kasih Peladang Parlimen Pulai, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) yakin dapat meningkatkan hasil tanaman dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada barangan import dalam tempoh lima tahun.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, beberapa jenis tanaman perlu dilancarkan supaya ekonomi negara dapat ditingkatkan meskipun usaha merealisasikannya mengambil masa.

"Saya yakin boleh, tetapi ia mengambil masa. Ini kerana kita perlu melancarkan tanaman supaya dapat membantu meningkatkan ekonomi.

"Ini bermakna dalam tempoh lima tahun ini, beberapa tanaman dapat kita tingkatkan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada barangan import," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keyakinannya bagi mengurangkan kebergantungan kepada barangan import itu boleh dilaksanakan selepas menyempurnakan Program Kasih Peladang Parlimen Pulai, di sini hari ini.

Menurutnya, tanggungjawab mengurangkan kebergantungan kepada barangan import itu dilihat berat namun ia harus dilakukan dengan memanfaatkan tanah-tanah dan Felda yang luas dilihat sebagai antara jalan keluar terbaik.

"Dalam masa sama, kerajaan negeri Sarawak juga berhasrat untuk memberikan tanah seluas 600,000 hektar. Oleh itu, saya bercadang untuk berbincang dengan mereka kenapa tidak sebahagiannya (tanah) tanam jagung bijian yang dapat bantu kita keluarkan.

“Setidaknya beberapa peratus makanan ternakan yang sumbernya adalah daripada jagung bijian kita sendiri. Saya yakin dalam tempoh terdekat semuanya itu dapat direalisasikan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bagi mengelak ringgit terus menjadi lemah, kerajaan juga merancang mengurangkan kebergantungan kepada barangan import yang mampu dihasilkan dalam negara.

Menurutnya, Malaysia juga perlu mengeluarkan sendiri produk asas seperti sayur-sayuran, buah-buahan, hasil laut dan ternakan bagi mengelak pengaliran ringgit ke luar negara.