Enam pendaki Gunung Tampin selamat dibawa turun

Antara pendaki yang dibawa turun dari Gunung Tampin malam tadi.
Antara pendaki yang dibawa turun dari Gunung Tampin malam tadi.
A
A
A

SEREMBAN - Enam pendaki termasuk dua warga Singapura dan lelaki warga India berjaya dibawa turun dengan selamat selepas dilaporkan sesat ketika mendaki di Gunung Tampin dekat Tampin, semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, bomba menerima panggilan jam 5.12 petang sebelum menggerakkan operasi mencari dan menyelamat.

Katanya, berdasarkan maklumat diterima, tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 25 hingga 50 tahun itu, tersesat ketika mendaki antara Gunung Datuk ke Gunung Tampin, dan dalam pendakian tersebut seorang daripada pendaki lelaki mengalami kekejangan otot.

“Operasi mencari dan menyelamat disertai 22 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin serta Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM).

“Anggota memulakan pendakian jam 5.41 petang dan menemui semua mangsa di Gunung Tampin dalam keadaan selamat.

"Terdapat seorang pendaki yang mengalami kekejangan otot dan pihak kita memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera itu terlebih dahulu sebelum dibawa turun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, semua mangsa berjaya dibawa turun pada 1.17 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan susulan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mereka yang cedera itu telah pun dirawat dan tiada kecederaan serius.

"Keadaan mereka semua baik-baik sahaja, tiada kecederaan serius berlaku kepada semua pendaki,"katanya.