Air naik hingga paras pinggang

Sulaiman memilih pakaiannya yang telah kotor selepas rumahnya dinaiki air, semalam.
Sulaiman memilih pakaiannya yang telah kotor selepas rumahnya dinaiki air, semalam.
A
A
A

SELAMA - Sebanyak 48 keluarga dipindahkan ke Masjid Sungai Bayor di sini yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka dinaiki air semalam.

Dalam kejadian itu, banjir kilat berlaku di beberapa tempat di Kampung Sungai Bayor, Kampung Garok dan Kampung Sungai Berdarah di sini.

Penduduk, Sulaiman Awang Mat, 79, berkata, dua kali rumahnya dinaiki air dalam tempoh beberapa jam berikutan rumahnya berhampiran dengan Sungai Selama.

"Hujan renyai bermula jam 5 petang dan dua jam kemudian, paras air sungai berhampiran mula naik dan melimpah memasuki halaman rumah.

Penduduk memulakan kerja-kerja pembersihan dari awal pagi selepas air telah surut sepenuhnya hari ini.
Penduduk memulakan kerja-kerja pembersihan dari awal pagi selepas air telah surut sepenuhnya hari ini.

"Ketika itu paras air rendah sahaja dan kian surut namun, selepas pulang menunaikan solat tarawih, air mula naik hingga paras pinggang," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, dia terpaksa bersengkang mata menjaga rumah manakala isterinya yang terlantar dan anak serta cucunya ditempatkan di PPS.

"Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) membantu membawa isteri, Ramlah Yunus, 81, ditempatkan di masjid sementara air surut. Kesemua pakaian dan barangan elektrik turut rosak.

Artikel Berkaitan:

"Kelengkapan raya seperti kuih muih ada sebahagiannya telah rosak. Kami baharu sahaja selesaikan bersihkan rumah dan kami dalam berjaga-jaga kerana keadaan cuaca yang mendung," katanya.

JPAM membantu membawa mangsa banjir kilat untuk dipindahkan ke Masjid Sungai Bayor, semalam.
JPAM membantu membawa mangsa banjir kilat untuk dipindahkan ke Masjid Sungai Bayor, semalam.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Garok, Abd Halim Ngah Ibrahim berkata, lebih 100 penduduk telah terjejas dalam kejadian itu dan kerja-kerja pembersihan masih dilakukan.

"Kita menjalankan pemantauan dan melihat keperluan penduduk. Bantuan awal seperti kotak harapan telah diagihkan," katanya.

Sementara itu, Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Daerah Selama, Leftenan (PA) Azman Mat berkata, pemindahan keluarga tersebut melibatkan 108 penduduk iaitu 32 kanak-kanak serta 76 dewasa.

"Pusat pemindahan bagaimanapun ditutup pada jam 9.30 pagi ini, selepas air mulai surut sepenuhnya," katanya.