Ahli Pas bakar kereta Mufti Perlis perlu tindakan tegas

Mohd Huzaifah Md Suhaimi
Mohd Huzaifah Md Suhaimi
A
A
A

KEMAMAN - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu mendesak Jabatan Amal Malaysia (JAM) agar mengambil tindakan tegas susulan insiden membakar kereta rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin hingga tiga anggotanya ditahan polis bagi membantu siasatan.

Ketua AMK Terengganu, Mohd Huzaifah Md Suhaimi berkata, JAM atau lebih dikenali sebagai Unit Amal Pas perlu bertindak tegas jika ahlinya didapati bersalah sebagai tanda menentang perbuatan keganasan.

Katanya yang juga Ketua Cabang PKR Kemaman, JAM sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat terutamanya kepada orang bukan Islam di negara ini dengan menonjolkan sikap dan adab yang baik.

"Perbuatan membakar kenderaan Mufti Perlis merupakan perbuatan keganasan yang tidak selari dengan ajaran al-Quran dan as-Sunnah.

"Jangan kerana perbezaan pendapat lebih-lebih lagi isu-isu yang menglibatkan ijtihad mahupun isu-isu khilaf kita bertindak ganas dan zalim," katanya.

Mohd Huzaifah berkata, apa yang lebih membimbangkan lagi apabila timbul juga dakwaan bahawa wujudnya tawaran yang lumayan untuk melakukan perbuatan itu malahan suspek didakwa turut sama diminta untuk menyimbah asid ke muka Mufti Perlis.

"Perkembangan berita ini amat merisaukan kami dan rakyat secara amnya. Peristiwa berdarah Memali masih lagi segar dalam ingatan kami susulan amanat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Kami tidak mahu budaya atau kefahaman melampau ini berterusan demi kesejahteraan dan keamanan negara kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dalam kejadian lain di Jakarta pula berlaku ketegangan sivil yang telah meragut enam nyawa dan 200 lagi cedera susulan pengesahan kemenangan Presiden Jokowi.

"Nampaknya perbuatan keganasan melibatkan perbezaan pandangan politik juga berlaku di negara jiran.

"Oleh itu, kita perlu banteras pemikiran melampau ini di peringkat awal. Kami menyeru semua umat Islam khususnya kepada parti yang mendakwa mereka sahajalah yang berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah untuk betul-betul mengamalkannya dalam perjuang politik masing masing," katanya.

Tegas Mohd Huzaifah, tidak sepatutnya umat Islam berlaku zalim sesama sendiri lebih-lebih lagi hanya kerana perbezaan pandangan politik kerana politik bukanlah isu akidah yang boleh dihalalkan darahnya sebaliknya ianya adalah bab ijtihad yang boleh berbeza pandangan dan boleh berlaku khilaf.

"Ini juga selari dengan sabda Nabi Muhammad SAW dalam khutbahnya pada haji Wada' yang bermaksud, 'Sesungguhnya darah, harta, dan kehormatan kalian haram terhadap kalian seperti keharaman hari kalian ini di bulan kalian ini di negeri kalian ini'. (hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

"Dengan ini kami berharap semua parti politik di negara ini perlu menentang perbuatan keganasan sebegini dan pihak berkuasa harus mengambil tindakan yang tegas bagi membendungnya daripada terus berleluasa," katanya.

Tiga anggota JAM itu ditahan reman selama empat hari oleh pihak polis bermula Selasa lalu bagi membantu siasatan insiden membakar kereta rasmi Mufti Perlis berkenaan pada 22 Mac lalu.

ARTIKEL BERKAITAN Bukan arahan Pas bakar kereta Mufti Perlis