Dua lelaki warga emas maut ketika melintas jalan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua lelaki warga emas maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika cuba melintas jalan di Kilometer 9.5, Jalan Johor Bahru - Kota Tinggi di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.05 pagi itu, mangsa masing-masing berusia 67 dan 61 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan jenis BMW gagal mengelak kedua-dua mangsa berkenaan.

Menurutnya, kenderaan itu dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun dari arah Kota Tinggi menuju ke pusat bandar.

“Apabila sampai di tempat kejadian secara tiba-tiba dua mangsa itu melintas jalan secara mengejut dari arah tengah pembahagi jalan ke seberang kiri jalan.

“Keadaan itu menyebabkan pemandu itu tidak sempat membrek dan mengelak. Akibat pelanggaran tersebut, kedua-dua tercampak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahurinain berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSI) di sini untuk dibedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: