Semua perlu akur Ahmad Zahid presiden UMNO yang sah

Tajuddin
A
A

IPOH - Semua pemimpin UMNO diingatkan supaya akur terhadap keputusan pemilihan parti yang meletakkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden yang sah.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, selagi mana tiada keputusan baharu dibuat, maka sebarang pertikaian berhubung kedudukan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dalam kepimpinan parti tidak perlu dibangkitkan.

"Sama ada beliau mahu terus bercuti atau menyerahkan kuasa buat berapa lama, itu terpulang kerana beliau masih lagi presiden.

"Ada yang desak beliau letak jawatan, ada sokong tidak letak jawatan, saya kira yang keluar itu hanyalah pandangan peribadi, bukan pendirian parti.

"Bagi MT UMNO sendiri, pendirian kita bahawa Ahmad Zahid adalah presiden yang sah kepada parti," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penutup Ihya Ramadan anjuran Taj International College, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal berita wujudnya gerakan oleh ketua-ketua UMNO bahagian tertentu untuk membawa Ahmad Zahid menjadi presiden parti itu semula.

Ahmad Zahid yang memenangi jawatan presiden pada pemilihan parti itu, Julai lalu telah memberi kepercayaan kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO.

Perkara itu menimbulkan pertikaian apabila ada kalangan pemimin UMNO menyarakan agar Ahmad Zahid melepaskan terus kepemimpinan parti kepada orang lain.

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata, sekarang bukanlah masa yang tepat untuk UMNO berdepan pertikaian politik dalaman.

Katanya, timbalan presiden yang menerima mandat melaksanakan tugas presiden telah menjalankan tanggungjawab dengan baik hingga membawa kemenangan dalam tiga pilihan raya kecil berturut-turut.

"Isu kepimpinan patut tidak ada masalah sekarang dan sebaiknya semua pemimpin kekal fokus terhadap usaha mengukuhkan parti memandangkan kita mempunyai ruang sangat baik untuk memenangi pilihan raya akan datang.

"Rakyat kini melihat kerajaan PH sebagai kerajaan yang gagal dan sekiranya PH tidak mampu mentadbir negara dengan baik, maka pilihannya sudah tentu di pihak kita, apatah lagi ketika ini UMNO dan BN mempunyai blok pakatan baru bersama Pas," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia