'Terima kasih Malaysia doakan Ainul Mardhiah'

Ibu bapa Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak (depan kiri) dan isteri Nurul Erwani Zaidi diiringi sebahagian anggota keluarga yang mengiringi perjalanan mereka ke London malam tadi. - Foto Bernama
A
A

SEPANG - "Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang doakan Ainul Mardhiah supaya kembali normal seperti bayi lain.”

Itulah luahan hati bapa bayi perempuan itu, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24 sebelum berlepas bersama anaknya ke United Kingdom malam tadi untuk rawatan anaknya yang menghidap kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’.

“Harapan saya doa dari rakyat Malaysia mudah-mudahan Ainul kembali ke sini dalam keadaan normal dan sihat,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini.

ARTIKEL BERKAITAN:Pengorbanan demi Ainul Mardhiah

Turut mengiringi adalah ibu bayi, Nurul Erwani Zaidi, 24, di mana kesemua mereka dijadualkan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MH002) ke London pada jam 11.30 malam tadi.

Ainul Mardhiah kelihatan tenang dan nyenyak tidur dalam kereta sorong bayi yang ditolak bapanya.

Terdahulu, lebih 50 anggota keluarga mengucapkan selamat jalan kepada pasangan itu di KLIA di sini.

Media sebelum ini melaporkan Dr Nur Amalina Che Bakri, doktor pakar pelatih surgikal warga Malaysia yang bertugas di hospital United Kingdom, bersama sekumpulan pakar pelbagai bidang, bersedia membuat pembedahan terhadap bayi berusia sembilan bulan itu. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia