Nahas: Penuntut UiTM Segamat maut

Keadaan treler selepas kemalangan di KM35 Jalan Tampin Gemas, hadapan Sekolah Rendah Sungai Dua.
Keadaan treler selepas kemalangan di KM35 Jalan Tampin Gemas, hadapan Sekolah Rendah Sungai Dua.
A
A
A

TAMPIN - Seorang penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM), Segamat, Johor maut selepas kenderaan yang dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah treler di KM35 Jalan Tampin Gemas, hadapan Sekolah Rendah Sungai Dua, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Ramli Kasa berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Hairul Idham Rasid, 21, mengalami kecederaan parah di kepala dan badan akibat tersepit ditempat duduk.

"Berdasarkan siasatan awal, mangsa memandu kereta jenis Toyota Vios secara sendirian dari arah Gemas.

"Bagaimanapun, sebaik tiba dilokasi lebih kurang jam 4 petang, kenderaan yang dipandunya dipercayai telah memasuki laluan bertentangan dan dalam masa yang sama datang sebuah treler dari arah Tampin.

"Akibatnya, berlaku perlanggaran antara dua buah kenderaan ini yang menyebabkan kenderaan mangsa telah berpusing dan melanggar lereng bukit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramli berkata, treler berkenaan telah terbabas ke kiri jalan dari arah Tampin ke Gemas.

"Mangsa telah tersepit di dalam kereta yang dipandunya dan disahkan meninggal di tempat kejadian. Pemandu treler berusia 30 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Urusan bedah siasat dilakukan hari ini di Hospital Tampin.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Jenazah mangsa akan diserahkan kepada keluarganya yang beralamat terakhir di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, Johor.